KWP bakal bina 12,000 unit rumah bawah RM200,000

99

6 FEB : Sebanyak 12,000 unit kediaman berharga RM200,000 di bawah program Residensi Prihatin akan dibina oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) di Putrajaya, kata Menterinya, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, projek itu akan dilancarkan pada 22 Feb ini dan dijangka mengambil tempoh 24 hingga 30 bulan untuk siap.

“Kira-kira 8,000 unit yang bakal dibina itu merupakan lima projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia yang dijenamakan semula di bawah Residensi Prihatin, dengan sebahagian projek tersebut tergendala sebelum ini.

“Sementara empat projek lagi melibatkan 4,000 unit rumah akan dibuat secara permohonan cadangan (RFP) untuk pemaju dipilih secara terbuka. Projek tersebut akan dibangunkan di kawasan strategik termasuk berhampiran pengangkutan awam, antaranya di Presint 7 dan 9,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program gimik penyerahan hamper Tahun Baharu Cina di Taman Puspa, Kok Lanas, hari ini.

Katanya lagi, kementerian akan membuka permohonan kepada pembeli, dengan keutamaan kepada penjawat awam dan golongan muda yang berkeluarga, pada 23 Feb ini.

Beliau yakin projek tersebut akan mendapat sambutan memandangkan ramai pemohon sebelum ini gagal membeli rumah berharga RM300,000 menerusi Program Rumah Wilayah yang ditawarkan sebelum ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.