KPPK sambut baik usaha dua negara bantah kempen anti sawit

60

6 FEB : Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyambut baik gesaan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa pertemuan dengan Presiden Joko Widodo di Jakarta semalam bagi menentang diskriminasi ke atas minyak sawit oleh negara-negara Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara lain.  

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Malaysia akan terus bekerjasama dengan Indonesia untuk menentang diskriminasi ke atas minyak sawit sama ada secara dua hala mahupun hubungan pelbagai pihak sepertimana yang diputuskan oleh kedua-dua pemimpin itu.

“Perdana Menteri dan Presiden Indonesia telah menzahirkan kebimbangan kedua-dua negara berikutan kempen antiminyak sawit.

“Kempen berkenaan adalah tidak berasas dan tidak menggambarkan kemapanan industri minyak sawit yang sebenar serta kelestarian alam sekitar yang tetap dipulihara.

“Kempen itu juga adalah bercanggah dengan prinsip amalan perdagangan bebas yang digariskan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),” tegas Khairuddin menerusi satu kenyataan media hari ini.

Beliau seterusnya berkata, keputusan Malaysia untuk memfailkan tindakan undang-undang ke atas EU melalui WTO pada 15 Januari 2021 adalah seiring dengan kenyataan beliau yang dikeluarkan pada 15 Jan 2021 sejurus penfailan tersebut dilakukan, dan tindakan sama juga telah diambil oleh Indonesia ke atas EU pada Disember 2019.  

“Selaras dengan gesaan Perdana Menteri supaya kerangka CPOPC diperkasakan untuk melindungi kepentingan bersama negara ahli terutamanya Malaysia dan Indonesia, saya akan berbincang dengan rakan sejawat iaitu Menteri Koordinator Bidang Perekonomian, Airlangga Hartarto untuk merangka strategi terbaik bagi melindungi industri sawit kedua-dua negara dalam masa terdekat,” ujarnya.   

Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) telah ditubuhkan bersama oleh Malaysia dan Indonesia pada 21 November 2015 bagi memperjuangkan isu-isu berkaitan industri sawit.

Indonesia dan Malaysia yang masing-masing merupakan negara pengeluar pertama dan kedua terbesar di dunia, juga sentiasa berusaha mencari kesepakatan dalam membangunkan dan memelihara industri sawit di kedua-dua negara.   

Get real time updates directly on you device, subscribe now.