KPM disaran pertimbang turun gred pemarkahan SPM/SVM

1,159

6 FEB: Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Kementerian Pendidikan (KPM) disarankan agar mempertimbangkan untuk menurunkan gred pemarkahan bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM)

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pendidikan Parlimen Malaysia, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, perkara ini dilihat perlu memandangkan pada tahun lepas, murid-murid tidak dapat menjalani tempoh pembelajaran yang sepatutnya di sekolah ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan peningkatan kes COVID-19 di negara ini. 

“Lembaga Peperiksaan Malaysia dan KPM wajar mempertimbangkan untuk menurunkan graf markah bagi kedua-dua peperiksaan awam tersebut. 

“Ini memandangkan sesi pembelajaran dan pengajaran mereka sangat-sangat terganggu pada tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini. 

Dalam pada itu, Jalaluddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Jelebu mempersoalkan tindakan KPM yang dilihat seolah-olah memberi cuti 14 hari kepada calon SPM dan SVM. 

Beliau turut ingin mengetahui pelaksanaan kaedah yang yang akan digunakan oleh guru dalam tempoh 14 hari sebelum peperiksaan ini untuk membantu para pelajar bersedia menghadapi peperiksaan tersebut

“Ramai yang mesej dan hubungi saya kerana rasa resah gelisah apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menghentikan sesi pembelajaran secara bersemuka bagi calon SPM/SPMV bermula 9 Februari ini. 

“Persolan yang mereka timbulkan adalah adakah sudah cukup persediaan para pelajar setelah cukup lama tidak menghadapi pembelajan secara bersemuka apabila para calon hanya PdP bersemuka di sekolah selama 14 hari, dan selepas itu diberi cuti 14 hari pula?

“Saya harap ibu bapa dapat tabah dalam mengharungi situasi ini. Untuk para calon pula, suka saya nasihatkan agar tidak berputus asa walau apa jua kesusahan yang terpaksa dihadapi.

“Bagi pada pendidik, saya mendoakan pengorbanan kalian ini akan mendapat balasan yang baik dari Tuhan Yang Maha Kuasa,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.