Justice in the Wilderness Cerita Karut Tommy Thomas

336

6 FEB: Tuduhan yang menyatakan para peguam kerajaan tidak layak dan tidak kompetan dalam menjalankan tugas mereka adalah satu lagi cerita karut yang  diwujudkan hanya untuk memburukkan institusi Jabatan Peguam serta mahkamah di negara ini.

Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Undang-Undang dan Parlimen, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata,  bukunya bekas Peguam Negara yang bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” satu cerita karut yang lebih menjurus kepada unsur ‘penghinaan’ serta bersifat “mala fide” yang menjatuhkan integriti serta maruah institusi perundangan negara amnya dan pegawai-pegawai undang-undang khasnya.

“Adalah amat jelas pada umumnya Jabatan Peguam Negara dan Mahkamah merupakan institusi perundangan yang sentiasa bersikap terbuka serta menerima baik segala pandangan dan cadangan dari dalam dan luar mahupun kritikan yang membina.

“Inilah sikap kita yang menghormati prinsip kebebasan asasi yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita anggap teguran yang membina itu boleh meningkatkan lagi kualiti pelaksanaan tugas-tugas kehakiman dan perundangan dalam kalangan pegawai-pegawai kita. 

“Walau bagaimanapun, teguran tersebut hendaklah dibuat dengan niat ikhlas,” katanya dalam satu kenyataan media di Facebook miliknya, hari uni. 

Dalam pada itu, Takiyuddin memberitahu proses keadilan tidak boleh dilaksanakan dengan baik, lancar dan berkesan tanpa sokongan daripada pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara dan di Mahkamah serta juga pengamal undang-undang di sektor swasta.

Tambah beliau, integrasi serta kerjasama ketiga-tiga sektor ini mampu memastikan undang-undang dan keadilan dapat ditegakkan dalam masyarakat kita.

“Saya turut yakin kebolehan, komitmen, dedikasi, kemahiran serta kejujuran pegawai-pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara dan di Mahkamah tidak boleh dipersoalkan sama sekali.

“Setiap tugasan yang dilaksanakan mereka adalah mengikut lunas undang-undang secara tersurat mahupun tersirat, tidak sekali-kali mengikut selera sendiri malah jauh dari bertujuan meraih populariti di mata mana-mana pihak,” katanya. 

Justeru itu, beliau memberi jaminan pihak kerajaan akan sentiasa memerhati dan akan bertindak mengikut undang-undang terhadap sebarang usaha memperkecilkan badan perundangan dan kehakiman serta pegawai-pegawainya. 

Tegasnya lagi, prinsip ‘the rule of law’ perlu dijadikan garis panduan bagi setiap individu mahupun kumpulan dalam membuat sesuatu keputusan dan pertimbangan. 

“Oleh itu, saya berseru kepada saudara dan saudari, pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara dan di Mahkamah terus menanam azam dan semangat yang tinggi. 

“Ini untuk menjayakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada kita bagi mendokong prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang negara Malaysia tercinta “without fear or favour”,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.