Facebook setuju kongsi pengalaman urus data vaksinasi

23

6 FEB: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menjalinkan kerjasama dengan Facebook bagi mendapat pengalaman berkenaan data pengurusan dan program vaksinasi COVID-19 di beberapa negara sebagai panduan untuk Malaysia melaksanakan program yang sama.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sudah pasti Facebook telah mengenal pasti negara-negara yang mempunyai amalan terbaik untuk pengurusan vaksin bagi menangani pandemik tersebut. 

Menurut beliau, pihak Facebook boleh berkongsi pengalaman mereka dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Kesihatan secara terus atau melalui kaedah KKMM sebagai perantara bagi kedua-dua kementerian berkenaan.

“Facebook terlibat dengan banyak negara dalam pengurusan COVID-19, termasuk negara yang menjalankan program vaksinasi COVID-19 menggunakan perisian Facebook bagi menguruskan data seperti data individu yang menerima suntikan dan kawasan yang terlibat.

“Pastinya ada cara terbaik walaupun ini benda baharu. Kita tak naklah jadi seperti, contohnya negara A pengurusan vaksinnya sangat berjaya dan licin sementara negara B ada banyak hiccup, kita tak mahu jadi seperti negara B,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perbincangan secara maya dengan United States- ASEAN Business Council (US-ABC), di Putrajaya. 

Saifuddin turut memaklumkan hasrat tersebut telah disampaikan kepada wakil Facebook dan mereka pada dasarnya bersetuju untuk berkongsikan pengalaman bersama pihaknya. 

“Saya minta mereka kongsi best practices tersebut sebab kita tidak boleh gagal dalam program ini kerana kos vaksinasi sangat tinggi dan sangat diperlukan untuk negara. Jadi belajar daripada pengalaman orang lain itu tidak akan rugi,” ujarnya.

Terdahulu, sesi perbincangan US-ABC itu turut melibatkan perbincangan dengan wakil daripada Amazon, Cisco, C&M International, Oracle, Qualcomm, Seagate, Stripe dan Google.

Perbincangan antara lain menyentuh mengenai keselamatan siber, cloud first policy, peraturan berkaitan percukaian perkhidmatan digital, transformasi digital, kesalinghubungan dan pengurusan pandemik COVID-19

Get real time updates directly on you device, subscribe now.