Tommy sedih dan kecewa ketika hasilkan buku

271

5 FEB: Beberapa isu berkaitan institusi Raja-Raja dan institusi Melayu dalam buku memoir Tan Sri Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” memberi gambaran seolah-olah mantan Peguam Negara tidak mahu menerima negara ini majoriti Melayu dan Bumiputera.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, adalah amat pelik sebagai seorang yang tahu berkaitan undang-undang serta berkuasa sebagai Peguam Negara menulis perkara yang berkaitan kedua-dua institusi.

Dr Abdul Latiff Ahmad

Apatah lagi katanya, Jabatan Peguam Negara kebetulan dipenuhi oleh perkhidmatan awam yang majoritinya Melayu serta Bumiputera dan sepatutnya Tommy patut faham kedudukan tersebut bukannya membuat pelbagai pendapat yang dangkal.

“Saya difahamkan Peguam Negara sekarang, Tan Sri Idrus Harun pada hematnya menyifatkan kandungan buku itu suatu penghinaan ketara kepada institusi perundangan negara kerana mempersoalkan kebolehpercayaan dan kekompetenan pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara,” katanya kepada PN BBC Portal.

Menurut Dr Latiff, Tommy menyentuh banyak isu berkaitan pemimpin Melayu selain pihak Istana sekaligus memberi tanggapan bahawa beliau bermasalah dengan institusi Melayu.

Secara peribadi, beliau yang juga Menteri Luar Bandar berpendapat, Tommy menulis dalam keadaan sedih dan masih kecewa kerana hilang jawatan secara tiba-tiba selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan Perdana Menteri dan kerajaan Pakatan Harapan runtuh

“Dia hilang jawatan, bukan sahaja sedih tetapi masih marah serta diresapi sindrom penafian terhadap keupayaan dan kemampuan institusi Melayu sama ada dalam soal kepimpinan mahupun disektor penjawat awam,” ujar beliau.

Ditanya mengenai laporan polis oleh pelbagai pihak terhadap mantan Peguam Negara itu, Dr Abdul Latiff menyerahkan perkara itu kepada polis untuk menyiasat.

“Bagi saya tidak perlu haramkan buku tersebut. Biar rakyat sendiri membaca dan menilai sikap  Tommy yang membuat banyak keputusan yang tidak disenangi rakyat sewaktu perkhidmatannya,” katanya lagi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.