Tommy didakwa seleweng fakta kematian Adib

182

5 FEB: Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) memandang serius mengenai pendedahan bekas Peguam Negara, Tommy yang didakwa menyelewengkan fakta sebenar berkenaan insiden kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim seperti diputuskan oleh Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September 2019.

Perkara itu dinyatakan menerusi kenyataan bersama MACSA yang diwakili Lukman Sheriff Alias dan Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar manakala PPMM pula diwakili presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

Kedua-dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berkata fakta dan realiti sebenar seperti yang telah diperakui dalam dapatan Mahkamah Koroner Shah Alam, termasuklah Muhammad Adib berada di dalam kenderaan van bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang berada di belakang jentera pemadam api.

Menurut mereka, daripada keterangan dan bukti rakaman video, Muhammad Adib berada di dalam van bomba dan jentera pemadam api diserang oleh perusuh yang van tersebut sedang dalam keadaan mengundur dan Muhammad Adib yang berada di tempat duduk penumpang hadapan telah membantu pemandu van dengan melihat ke cermin sisi.

“Pada ketika inilah Muhammad Adib telah ditarik ke luar van oleh perusuh dan ketika ditarik, lebih daripada seorang perusuh telah menendang kuat ke arah pintu van sehingga menyebabkan tulang rusuk Muhammad Adib rosak, perusuh kemudian mencampakkan Muhammad Adib ke arah belakang van yang sedang mengundur, yakni tepi pintu penumpang sehingga menyebabkan tulang belakangnya patah di beberapa tempat.

“Sehari atau dua sebelum kematian Muhammad Adib, beliau mampu bercakap dengan baik dan telah mengaku kepada petugas di unit rawatan rapi yang menjaganya bahawa beliau telah ditarik keluar dan dibelasah.

“Perkara yang serupa turut dimaklumkan kepada ketua balai tempat Muhammad Adib bertugas semasa beliau melawat Allahyarham pada hari tersebut. Tiada sebab kenapa arwah Adib hendak menipu,” kata mereka menerusi kenyataan bersama, hari ini.

Terdahulu, buku kontroversi Tommy bertajuk My Story: Justice in the Wilderness itu menyatakan kecederaan Adib adalah diakibatkan pengunduran kenderaan bomba dan kenderaan yang dinaiki Adib dan Adib dilihat cuba memasuki kenderaannya dan ketika itulah beliau dihimpit maka ia tidak disengajakan.

Tommy juga mendakwa dapatan koroner Rofiah Mohamad adalah luar biasa kerana polis telah memaklumkan kepadanya bahawa kemungkinan berlaku perbuatan khianat telah diketepikan sebagai penyebab kematian Muhammad Adib.

Tommy juga mendakwa terkejut apabila mengetahui bahawa peguam, Syazlin Mansor juga mewakili keluarga Muhammad Adib untuk siasatan mengenai kematiannya sedangkan Syazlin juga mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Dalam pada itu, MASCA dan PPMM memberitahu Tommy selaku Peguam Negara juga maklum tentang perlantikan Syazlin sejak hari pertama perlantikan lagi dan tidak mengambil sebarang tindakan sehinggalah tindakan Syazlin bertentangan dengan pendirian Tan Sri Tommy Thomas semasa inkues.

“Penulisan Tan Sri Tommy Thomas dalam buku autobiografinya itu memberikan impak yang sangat menyeleweng kerana membenarkan kepalsuan berleluasa tanpa menghargai pengorbanan nyawa oleh seorang adiwira negara.

“MACSA dan PPMM khuatir, kegagalan Tan Sri Tommy Thomas untuk memetik fakta sebenar akan merendah-rendahkan nilai dan harga nyawa barisan hadapan negara yang bermatian demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya.

Justeru, MACSA dan PPMM mendesak kerajaan untuk membuka semula kertas siasatan terhadap perusuh yang telah menyebabkan kematian Muhammad Adib.

“Di bawah Artikel 3, Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948, setiap orang mempunyai hak untuk hidup dengan bebas dan selamat,” kata mereka. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.