SOP Tahun Baharu Cina sama seperti perayaan lain

73

5 FEB: Kerajaan menegaskan bahawa prosedur operasi standard (SOP) sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang diumumkan semalam adalah peraturan sama yang telah dilaksanakan sewaktu perayaan bagi penganut agama bukan Islam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap SOP perayaan yang diumumkan kepada orang ramai adalah hasil pembentangan yang dibuat oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan mendapat persetujuan daripada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sebelum membentangkan kepada Sidang Khas MKN dan KPN, Ismail Sabri berkata, wajib diadakan perbincangan dan mendapat persetujuan bersama wakil setiap pertubuhan keagamaan dan persatuan kebudayaan kaum-kaum terbabit.

“Kemudian, KPN akan mengangkat hasil perbincangan tersebut untuk dibincangkan semula bersama MKN dan KKM khususnya bagi menilai dari segi risiko kesihatan.

“Setelah keputusan antara KPN, KKM dan MKN dibuat, barulah KPN akan mencadangkan kepada Sidang Khas MKN untuk diluluskan dan selepas diluluskan barulah SOP tersebut diumumkan kepada rakyat.

“Sebagai contoh, sebelum SOP Deepavali, Thaipusam, Krismas, Hari Gawai serta Pesta Kaamatan diumumkan, KPN telahpun berbincang dan mendapat persetujuan bersama pemimpin agama yang berkaitan bagi membangunkan SOP yang akan dikeluarkan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas beberapa pihak khususnya pembangkang yang mengkritik hebat tentang SOP yang dilaksanakan kerajaan terhadap perayaan sambutan Tahun Baharu Cina.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, kebiasaannya, bagi menghormati keputusan tersebut, kerajaan jarang mengubah SOP yang telah diputuskan KPN bersama pemimpin agama dan pertubuhan berkaitan.

Tambah beliau, seperti dalam isu Tahun Baharu Cina, KPN memaklumkan telah mengadakan dua kali sesi libat urus melibatkan 21 pertubuhan agama, persatuan kebudayaan Cina, Buddha, Tao, Kristian, persatuan perniagaan Cina termasuk Sabah dan Sarawak serta pihak-pihak berkaitan bagi sama-sama menyediakan SOP.

“Sebab itulah, agak menghairankan apabila SOP yang dibentangkan untuk Tahun Baharu Cina kali ini dikritik hebat oleh masyarakat.

“Walau bagaimanapun, jika terdapat sebarang perubahan yang ingin dilakukan oleh KPN selepas mendengar pandangan ramai, KPN boleh membentangkan semula kepada MKN untuk dipertimbangkan,” katanya.

Sementara itu, berhubung penguatkuasan, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 747 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 723 individu dikompaun manakala 24 orang pula direman.

“Antara kesalahan direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka (159), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (113), tiada penjarakan fizikal (140), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (156), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (50), keluar rumah tanpa alasan munasabah (41) dan lain-lain (88),”katanya.

Berhubung Op Benteng semalam, beliau memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas lima kenderaan darat. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.