Rayuan SOP Tahun Baharu Cina dibawa ke MKN

52

5 FEB : Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam satu kenyataan hari ini berkata,  pandangan dan rayuan masyarakat Cina berhubung prosedur operasi standard (SOP) sambutan Tahun Baru Cina berkaitan majlis makan besar keluarga dan kehadiran ke rumah ibadat tokong, akan dibawa untuk perhatian Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut KPN, sebarang pengumuman berkaitan pandangan dan rayuan yang dimasukkan dalam SOP Tahun Baru Cina akan diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

SOP Tahun Baru Cina itu disediakan setelah pihak kementerian berbincang dengan 21 badan pertubuhan agama, persatuan kebudayaan Cina dan pihak berkaitan pada 12 dan 18 Jan lepas, kata KPN.

Antara persatuan yang terlibat semasa perbincangan pada 12 Jan lepas ialah Malaysian Buddhist Association, Persatuan Agama Taoisme Malaysia, Malaysian Chinese Muslim Association, Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dan Malaysia-China Chamber of Commerce and Industries.

Persatuan yang hadir pada 18 Jan lepas pula antaranya Cheng Ho Multi Culture Education, Malaysian Faith And Culture Interaction Kuala Lumpur dan Huazhong Malaysia.

Aktiviti perayaan yang tidak dibenarkan pula meliputi upacara sembahyang di tokong, ziarah rumah ke rumah, rentas daerah dan negeri serta persembahan dan kebudayaan seperti persembahan tarian singa atau tarian naga, perarakan ‘tanglung, perarakan ‘chingay’ dan persembahan opera cina atau pertunjukan pentas.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan beberapa SOP untuk sambutan Tahun Baru Cina pada 12 dan 13 Feb ini, antaranya hanya membenarkan aktiviti majlis makan besar diraikan bersama ahli keluarga dari rumah yang sama sahaja.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.