Polis terima 7 laporan terhadap Tommy Thomas

44

5 JAN: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, mengesahkan polis sudah menerima tujuh laporan berhubung dakwaan memfitnah yang dilaporkan dilakukan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Bagaimanapun, Acryl Sani berkata pada masa ini polis masih menjalankan siasatan terhadap setiap dakwaan yang dikaitkan terhadap Tommy.

“Sehingga pagi tadi, polis sudah menerima tujuh laporan di seluruh negara. Kita akan mengambil kenyataan semua pihak yang terbabit seperti dilaporkan untuk proses rakaman percakapan bagi melengkapkan siasatan.

“Pada masa ini, kita serahkan kepada pegawai penyiasat menjalankan tugas. Beri mereka masa untuk memanggil semua mereka yang terbabit,” katanya selepas meninjau sekatan jalan jaya (SJR) di Sungai Besi, pagi tadi.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata pihak polis akan menjalan siasatan berhubung kes berkenaan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan fitnah.
 
Beliau berkata kertas siasatan yang sudah dilengkapkan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk semakan, sebelum tindakan susulan dilakukan.

Media semalam, melaporkan bekas Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali, meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan rapi dan mengambil tindakan tegas terhadap mantan Peguam Negara, Tommy Thomas kerana didapat melakukan tiga kesalahan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Berikutan itu Apandi yang ditemani peguamnya Baljit Singh Sindhu hadir ke Balai Polis Sentul di sini bagi membuat laporan polis terhadap tindakan bekas Peguam Negara terbabit.

Apandi berkata beliau terpanggil membuat laporan polis selepas membaca dan meneliti salinan buku bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’  
yang ditulis bekas Peguam Negara berkenaan yang secara amnya mengandungi tuduhan dan tohmahan tidak berasas sama sekali terhadapnya.

“Lebih teruk dari itu saya menyatakan bahawa buku berkenaan mengandungi fitnah jenayah terhadap saya terutamanya dalam muka surat 199.

“Saya percaya bahawa fitnah jenayah berkenaan adalah satu kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” katanya dalam salinan laporan polis diedarkan kepada media selepas membuat laporan polis di Balai Sentul, kira-kira jam 2.30 petang semalam.


Apandi dalam laporan polisnya menyebut bahawa Tommy Thomas juga mendedahkan beberapa perkara sulit yang masih tertakluk kepada undang-undang kerahsiaan negara termasuklah perbincangan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan urusan berkaitan dengan jawatannya selaku Peguam Negara.

Apandi berkata biarpun bukan lagi Peguam Negara namun Tommy Thomas masih lagi tertakluk kepada sumpah memegang rahsia yang diikrarkan semasa memegang jawatan terbabit.

Terdahulu, bekas pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, membuat laporan polis di Cyberjaya, selepas mendakwa Tommy memfitnah dan memburukkan imejnya ketika beliau masih bertugas sebagai seorang pegawai kanan kerajaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.