Pemilihan Anwar jadi PM punca PH jatuh – Mahathir

180

5 FEB: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa pemilihan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri menjadi punca kejatuhan Pakatan Harapan (PH) setelah berkuasa hanya selama 22 bulan.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, PH yang memilih Anwar semasa membuat pengakuan di hadapan Yang di-Pertuan Agong dahulu.

Walau bagaimanapun, Dr Mahathir memberitahu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak akan mengaku bahawa kejatuhan PH bukan kerana beliau meletak jawatan.

“Jika PH menamakan saya, segala-gala yang berlaku sekarang tidak akan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Mahathir mengulas tentang dakwaan Kit Siang bahawa tindakan beliau meletak jawatan menjadi punca kejatuhan PH.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata demikian sebagai reaksi terhadap dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya yang berjudul My Story – Justice in the Wilderness yang mencetuskan kontroversi.

Tommy menyatakan, tindakan Dr Mahathir menyerahkan balik kuasa Perdana Menteri sebagai sesuatu yang sukar difahami.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menambah, beliau jatuh bersama dengan kejatuhan PH dan tidak munasabah baginya terus menjadi Perdana Menteri apabila PH tidak lagi menjadi kerajaan.

Beliau menambah, PH tidak akan jatuh sekiranya masih ada majoriti dan mereka boleh memilih Ahli Parlimen yang lain untuk menjadi Perdana Menteri.

“Anwar memang berminat untuk jadi Perdana Menteri. Tetapi kerana PH hilang majoriti di waktu saya letak jawatan, Anwar tidak dapat ganti saya,” jelasnya.

Dr Mahathir berkata, semua 222 Ahli Parlimen telah diberi peluang oleh Yang di-Pertuan Agong untuk mencadangkan calon Perdana Menteri pilihan mereka.

“PH yang sepatutnya cadang saya, telah cadang Anwar konon kerana ia mendapat cukup bilang disebabkan sokongan dari Sabah dan Sarawak.

“Tetapi Anwar hanya dapat 92 pencalonan dari PH sahaja. Sabah dan Sarawak tolak Anwar,” katanya.

Pada masa yang sama, Dr Mahathir hanya menerima 62 pencalonan kerana PH sendiri menolak beliau. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.