Bekas Pengerusi MARA Inc hadap 22 pertuduhan

942

5 FEB: Bekas pengerusi MARA Incorporated (MARA Inc), Datuk Mohammad Lan Allani, mengaku tidak bersalah atas 20 tuduhan rasuah dan dua tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM20.45 juta di dua Mahkamah Sesyen berbeza di sini, membabitkan urusan pembelian hartanah di Melbourne, Australia.

Mohammad Lan, 65, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di dua mahkamah sesyen secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi dan Rozina Ayob.

Berikutan itu, mahkamah menetapkan 8 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes, dengan jaminan RM400,000 dengan seorang penjamin, iaitu anaknya sendiri.

Pasportnya diserahkan kepada mahkamah, sehingga kes selesai.

Sebagai tambahan, mahkamah membenarkan wang jaminan dibayar secara ansuran dua kali iaiti hari ini RM200,000 dan bakinya mestilahkan dijelaskan selewat-lewatnya pada 16 Februari ini.

Beliau diwakili oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik, manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat kebenaran Pejabat Peguam Negara bagi mendakwa suspek, dengan 22 pertuduhan mengikut Seksyen 16(a) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia; dan Seksyen 2(4) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan.

Hari ini, Mohammad tertuduh didakwa atas 17 pertuduhan menerima suapan, tiga pertuduhan cuba menerima suapan, dan dua pertuduhan pengubahan wang haram, antaranya bagi meluluskan kertas cadangan “Proposed Acquisition of a Student Accommodation Building and a Commercial Retail Block known as Dudley International House, 7-13 Dudley Street, Caulfield East, Victoria 3145, Melbourne, Australia” antara 2012 dan 2013.

Kemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi antaranya di Solaris Mont Kiara, Maybank Cawangan Mont Kiara, sebuah restoran di Bukit Kiara dan CIMB Bank Jalan Sagunting, Kota Kinabalu. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.