Banyak buat kebajikan, Annuar malu dengan Ebit Lew

97

5 FEB: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berasa malu kerana tidak banyak melakukan kebajikan dan membantu orang ramai biarpun bergelar wakil rakyat berbanding pendakwah bebas Ustaz Ebit Lew.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata Ebit antara individu yang beliau ingin bertemu bagi berkongsi perkara berkaitan kebajikan dan sumbangan kepada rakyat yang mungkin boleh dipelajari daripadanya.

“Saya rasa malu sebab saya wakil rakyat, dan saya tidak dapat buat sebanyak yang dia buat.

“Mungkin saya berbeza pandangan sedikit, peranan NGO lain dan peranan kerajaan lain, tetapi dalam masa yang sama, kita (pemimpin) harus ada perasaan malu, bukan malu dalam bentuk yang negatif, malu positif.

“Ini kerana orang yang tiada kuasa macam beliau (Ebit) sanggup berbuat lebih, bagaimana kita orang yang ada kuasa, kita tidak berbuat cukup,” katanya dalam program Bicara Minda secara maya anjuran Sinar Harian.

Annuar berkata demikian ketika mengulas pendakwah bebas dan dermawan, Ebit Lew yang dilihat pantas melakukan kerja amal serta sumbangan.

Bagaimanapun, Annuar berkata, tanggungjawab kerajaan tidak sama dengan tanggungjawab NGO kerana kerajaan juga perlu merangka dasar baik.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu mengadakan agenda dan program yang mungkin tidak dilihat rakyat sekarang, tetapi hasilnya akan dapat dilihat dalam jangka lebih panjang.

“Kalau ada sesuatu masalah kita turun dan selesaikan, itu pun penting, tapi sebagai kerajaan terutamanya, kita harus memikir jauh daripada itu.

“Jadi, kalau tidak nampak turun (padang) bukan bermakna kerajaan tidak berfungsi, tetapi lebih baik kalau kita menguruskan kerajaan dari segi pelaksanaan dasar baik, sementara kita juga terus menjadi sebuah kerajaan prihatin dan cakna kepada permasalahan rakyat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.