12 lagi kluster tempat kerja babitkan tujuh negeri

50

5 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan 12 lagi kluster tempat kerja membabitkan 7 negeri daripada 15 kluster baharu di seluruh negara, termasuk dua kluster komuniti dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Pertambahan kluster baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster COVID-19 di Malaysia sekarang ialah 876 kluster, termasuk 442 kluster sudah tamat dan 434 kluster masih aktif dengan kebolehjangkitan. Manakala, dua kluster berakhir hari ini adalah Kluster Tapak Bina Jalan Ipoh dan Kluster Ziarah Putra.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini 88 kluster, manakala kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Jalan Rumbia Dua (133 kes), Kluster Sri Sengkang (112 kes), dan Kluster Industri Serkam (96 kes).

“KKM juga ingin memaklumkan terdapat 15 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini, yang membabitkan 12 kluster berkaitan tempat kerja, dua  kluster komuniti, dan satu  kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi.

“Dua belas kluster tempat kerja termasuklah lima di Selangor iaitu Kluster Jalan Mokhtar, Jalan Enam Belas, Bandar Teknologi, Persiaran Jaya dan Jalan Lima; Kluster Jalan Rumbia Dua dan Sri Sengkang di Johor;  Kluster Jun Heng, Sarawak; Kluster Tapak Bina Jalan Valdor di Pulau Pinang; Kluster Industri TTJ, Negeri Sembilan;  Kluster Santong Paka, Terengganu dan Kluster Industri Bentong Sebelas, Pahang.

“Dua kluster komuniti yang dikesan di Pahang ialah Kluster Hikmah Muadzam dan Kluster Taman Murni, manakala Kluster Jalan Jubilee, Kuala Lumpur pula membabitkan kluster kumpulan berisiko tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berikutan itu Dr Noor Hisham berkata KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat) dan amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn).

“Patuhilah kepada prosedur operasi standard (SOP) sebagai normal baharu. KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.