Sindiket seludup dadah guna treler kecundang

109

4 FEB: Taktik sindiket penyeludupan menggunakan treler barang untuk menghantar dadah kepada ahli kumpulan sebelum diedarkan kepada pelanggannya terbongkar selepas Jabatan Siasatan Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas ganja seberat 149 kilogram (kg) dan dianggar bernilai lebih RM370,000 dalam empat serbuan serentak pada 1 Februari lalu.

Polis menahan lima suspek termasuk empat lelaki rakyat tempatan dan seorang pemegang kad pemastautin tetap (PR) warga Kemboja kerana terbabit yang dipercayai menjadi dalang dan anggota sindiket terbabit di Subang Jaya, Selangor; Seremban, Negeri Sembilan; Pantai Dalam dan Seri Petaling Kuala Lumpur, dalam serbuan antara jam 6.30 pagi dan 6.45 pagi berkenaan.

Difahamkan dadah berkenaan untuk diedar kepada 298,000 penagih dadah di sekitar Lembah Klang dan Selatan tanah air dengan kadar pengguna dua gram setiap individu terbabit

Timbalan Pengarah Narkotik (Perlucuthakan Harta / Perundangan / Tahanan) Bukit Aman, Deputi Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, kegiatan sindiket yang dikatakan sudah beroperasi hampir enam bulan itu terbongkar selepas polis menerima maklumat daripada awam berhubung kes terbabit.

Justeru, sepasukan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama Polis Selangor melakukan empat serbuan serentak termasuk serbuan pertama membabitan sebuah lori dan kereta di tepi jalan berhampiran Taman Perindustrian Subang Jaya, Selangor, jam 6.15 pagi, pada 1 Februari lalu.

“Dalam serbuan ini polis menahan seorang lelaki tempatan (pemandu kereta) dan seorang pemandu lori yang juga pemegang kad PR warga Kemboja, sebelum menjumpai dadah jenis ganja seberat kira-kira 149 kg dianggarkan bernilai lebih RM379 ribu disembunyikan dalam kereta dan lori terbabit.

“Hasil siasatan juga mendapati suspek warga tempatan berusia 43 tahun berkenaan mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Bagaimanapun ujian air kencing dilakukan terhadap kedua-dua suspek adalah negatif,” katanya ketika pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, dalam serbuan kedua di Seremban pada jam 6.30 pagi hari yang sama pula polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Kamarul Zaman berkata suspek ketiga warga tempatan yang mempunyai lima rekod jenayah lampau pula ditahan di dalam kereta di Desa Seri Petaling Selangor pada jam 6.30 pagi.

Katanya, seorang lagi suspek lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan dalam serbuan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada jam 6.30 pagi, 1 Februari 2021.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampas termasuk dadah (RM373,460), wang tunai RM51,500 dan beberapa kenderaan (kereta dan motosikal) adalah dianggarkan hampir RM900,000.

“Semua suspek termasuk ‘mastermind’ yang juga warga tempatan sudah direman antara tujuh hingga lapan hari bagi membantu siasatan polis mulai 1 Februari 2021 dan siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.