Selangor lapor 2,065 kes daripada 4,571 kes baharu

37

4 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengumumkan kes baharu jangkitan COVID-19 adalah sebanyak 4,571 kes, menjadikan jumlah kes keseluruhan di Malaysia sebanyak 231,438 kes setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan hari ini berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan COVID-19 adalah sebanyak 48,771 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah 4,568 kes.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 2,056 kes (45.0 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 1,358 kes (66.1 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Johor sebanyak 664 kes (14.5 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 481 kes (10.5 peratus).

“Sebanyak 237 kes (5.2 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Taiping (79 kes), Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok (65 kes), Kluster Tembok Renggam (44 kes), Kluster Tembok Mempaga (38 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (3 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (3 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (2 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (1 kes), Kluster Matambai (1 kes), dan Kluster Penjara Kepayan (1 kes).,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memberitahu sehingga jam 12 tengah hari ini, sebanyak terdapat 4,092 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih COVID-19 di negara ini sebanyak 181,886 kes atau 78.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Terdapat pertambahan 17 kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 826 kes.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan empat kes di Selangor, masing-masing tiga kes di Sabah dan Sarawak, dua kes di Johor dan Pahang, dan satu kes di Kelantan, Melaka, dan Negeri Sembilan. Sebanyak 15 kes kematian melibatkan warganegara dan dua kes bukan warganegara.

“Sehingga kini, terdapat 308 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 135 kes memerlukan bantuan pernafasan,” ujarnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.