Penjara menanti pesalah langgar SOP cegah COVID-19

51

4 FEB: Hukuman penjara ke atas pesalah yang melanggar peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 boleh dikuatkuasakan setelah pindaan undang-undang di bawah Ordinan Darurat diluluskan kelak.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu merupakan salah satu pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang diteliti Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat.

Menurut beliau, di bawah pindaan tersebut, kompaun yang lebih tinggi akan dikenakan terhadap pesalah berulang atau pesalah yang telah diberi amaran.

muhyiddin
Muhyiddin Yassin menyampaikan penjelasan terkini mengenai pelaksanaan Proklamasi Darurat dan pemasyhuran Ordinan Darurat dalam mengurus pandemik COVID-19 yang disiarkan secara langsung melalui Facebook hari ini.

Malah, katanya, arahan penutupan serta-merta boleh dikeluarka terhadap premis perniagaan yang tidak mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Tindakan perundangan dikenakan terhadap pemilik perniagaan, pemegang francais, operator francais dan pihak berkepentingan lain dalam rantaian organisasi perniagaan.

“Tindakan perundangan terhadap rantaian pengurusan pekerja asing meliputi majikan, ejen pembekal pekerja, kontraktor utama, sub-kontraktor dan orang perseorangan,” katanya ketika menyampaikan penjelasan terkini mengenai pelaksanaan Proklamasi Darurat dan pemasyhuran Ordinan Darurat dalam mengurus pandemik COVID-19 yang disiarkan secara langsung melalui Facebook hari ini.

Muhyiddin menambah, tindakan tatatertib boleh dikenakan ke atas penjawat awam yang tidak mematuhi peraturan dan SOP termasuk kepada ketua jabatan berkaitan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah.

Pada masa yang sama, beliau berkata, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) akan dipinda bagi tujuan menangani isu-isu pengurusan tempat tinggal pekerja menerusi tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas.

Perdana Menteri memberitahu, pindaan akta itu mewajibkan majikan untuk menyediakan tempat tinggal yang memenuhi standard yang ditetapkan, menanggung kos penginapan, perpindahan dan kos saringan kesihatan pekerja, melaksanakan tindakan pemantauan ke atas pekerja asing sewaktu bekerja di premis pekerjaan dan selepas waktu bekerja di tempat tinggal serta memastikan ejen pusat penginapan pekerja menyediakan tempat tinggal pekerja yang memenuhi syarat dan standard kesihatan awam yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Kementerian Sumber Manusia akan mengetuai Pasukan Petugas Pengurusan Penginapan Pekerja yang akan mempunyai bidang kuasa yang lebih besar dan menyeluruh menerusi pindaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, menerusi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, kerajaan juga telah melaksanakan proses penempatan semula sumber manusia, aset dan perkhidmatan sektor awam bagi tujuan mempertingkatkan keupayaan kementerian dan agensi tunjang yang mengurus situasi pandemik COVID-19.

Jelas beliau, tindakan itu membolehkan petugas-petugas barisan hadapan di agensi kesihatan dan bukan kesihatan dapat dibantu oleh warga kerja tambahan dari kementerian dan agensi lain.

“Dengan menggunakan sumber sedia ada, kerajaan dapat mengoptimumkan mobilisasi petugas, aset dan kepakaran tambahan dalam mengurus situasi pandemik.

“Seramai 20,000 penjawat awam terlibat dalam inisiatif ini yang diurus oleh Jabatan Perkhidmatan Awam. Inisiatif ini tidak melibatkan sebarang pertambahan kos operasi kerajaan,” ujarnya.

Menurut Perdana Menteri, salah satu daripada perkara penting dalam pelaksanaan darurat ialah peruntukan di dalam Ordinan Darurat yang membenarkan penyumberluaran sementara kemudahan kesihatan swasta oleh kerajaan meliputi hospital, klinik, makmal, sumber manusia, perkhidmatan dan aset-aset yang difikirkan perlu untuk mempertingkatkan kecekapan pengurusan pandemik.

“Untuk tujuan ini, konsep hospital kluster di antara hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan akan diperluaskan bagi merangkumi hospital-hospital awam lain seperti hospital universiti, hospital angkatan tentera dan hospital-hospital swasta yang akan digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.

“Hospital swasta akan diletakkan di bawah pengoperasian Hospital Kluster dengan sektor awam di bawah Pusat Kawalan COVID-19 Bersepadu,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengurangkan tekanan ke atas hospital-hospital kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk merawat pesakit COVID-19, Kementerian Kesihatan telah mula bekerjasama dengan 31 hospital swasta untuk penyumberluaran rawatan sebahagian daripada pesakit bukan COVID-19 ke hospital-hospital swasta dengan peruntukan sebanyak RM27 juta tahun ini.

“Bagi pengurusan dan rawatan pesakit COVID-19 di hospital swasta, Kementerian Kesihatan telah mendapat kerjasama yang baik daripada hospital-hospital swasta di seluruh negara. Setakat 3 Februari 2021, pihak hospital swasta bercadang menyediakan 1,344 katil di wad biasa dan 65 katil di wad unit rawatan rapi (ICU),” jelasnya.

Muhyiddin menambah, kemudahan makmal kerajaan dan swasta juga sedang digembleng untuk meningkatkan kapasiti pelaksanaan ujian saringan COVID-19.

“Pada masa ini sebanyak 68 makmal kerajaan dan swasta di negara ini mempunyai kapasiti untuk melaksanakan 76,805 ujian saringan setiap hari. Kerajaan akan meningkatkan lagi keupayaan makmal kerajaan dan swasta untuk melaksanakan ujian saringan COVID-19,” katanya.

Beliau menyatakan, melalui Ordinan Darurat juga, kerajaan akan mula mengambil alih kemudahan-kemudahan bagi tujuan menambah pusat saringan COVID-19 dan pusat kuarantin.

Selain itu, katanya, kem-kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN dan kem-kem Wawasan bakal dijadikan pusat tahanan dan kuarantin sementara pendatang asing tanpa izin (PATI) serta penjara sementara.

“Ini adalah sebahagian daripada tindakan serta-merta kerajaan untuk mengurangkan kesesakan di depoh-depoh tahanan Jabatan Imigresen dan penjara yang secara langsung dapat mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan tahanan.

“Sebanyak 16 kem PLKN dan Kem Wawasan telah diambilalih secara sementara untuk tujuan ini. Tindakan ini juga mampu mempertingkatkan penguatkuasaan kerajaan dalam mencegah kemasukan PATI ke negara ini yang juga menjadi antara punca penularan COVID-19 di negara kita,” katanya.

Perdana Menteri berkata, keupayaan penguatkuasaan juga dipertingkatkan lagi dengan menurunkan kuasa polis kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membuat penangkapan, pemeriksaan dan rampasan semasa membantu agensi-agensi lain melakukan tugas pencegahan PATI dan operasi pencegahan COVID-19.

“Saya juga telah mengarahkan anggota RELA yang berjumlah lebih tiga juta orang di seluruh negara untuk membantu tugasan penguatkuasaan SOP di premis-premis perniagaan dan tempat awam.

“Selain itu, kerajaan juga akan melaksanakan Program Pemerkasaan Komuniti yang akan melibatkan pemimpin masyarakat setempat dalam kempen pencegahan COVID-19 di peringkat komuniti masing-masing,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.