Dua sukarelawan Sarawak terima suntikan vaksin COVID-19

52

4 FEB : Dua daripada dua puluh tiga sukarelawan yang telah memberi keizinan untuk menjalani ujian klinikal bagi vaksin SARS-CoV-2 dari China di Sarawak telah menerima suntikan pertama dos vaksin tersebut, kata Pengarah Kesihatan negeri itu, Dr Chin Zin Hing.

Jelas beliau,  ujian klinikal bagi vaksin baharu itu kini dilakukan di sembilan pusat di seluruh negara termasuk Hospital Umum Sarawak (SGH).

“Proses itu masih berlangsung dan mereka yang telah mendaftar akan dihubungi serta disaring dan akan diberikan waktu untuk datang menerima suntikan serta janji temu berikutnya.

“Manakala vaksinasi bagi vaksin Pfizer-BioNTech akan bermula akhir bulan ini, yang membabitkan petugas barisan hadapan di Sarawak,” katanya kepada pemberita pada sidang harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba sebelum ini berkata ujian klinikal bagi vaksin SARS-CoV-2 telah bermula pada 27 Jan lepas di sembilan hospital dan membabitkan kira-kira 3,000 sukarelawan.

Dr Adham berkata Fasa 3 ujian klinikal vaksin yang dibangunkan dan ditaja oleh Institut Biologi Perubatan Akademi Sains Perubatan Cina (IMBCAMS) sedang dijalankan dengan matlamat menilai keselamatan serta keberkesanannya terhadap jangkitan COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.