Dituduh lakukan jenayah, Apandi Ali buat laporan polis

164

4 FEB: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, hari ini, membuat laporan polis terhadap Tan Sri Tommy Thomas kerana membocorkan perkara yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan.

Apandi berkata, beliau terpanggil membuat laporan polis selepas membaca dan meneliti salinan buku bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang ditulis bekas Peguam Negara itu yang secara amnya mengandungi tuduhan dan tohmahan tidak berasas sama sekali terhadapnya.

“Lebih teruk dari itu, buku berkenaan mengandungi fitnah jenayah terhadap saya terutamanya dalam muka surat 199.

“Saya percaya bahawa fitnah jenayah berkenaan adalah satu kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” katanya dalam salinan laporan polis diedarkan kepada media selepas membuat laporan polis bersama peguamnya Baljit Singh Sindhu di Balai Sentul, kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Mengulas lanjut, Apandi berkata berdasarkan penelitiannya, Tommy Thomas juga didapati mendedahkan beberapa perkara sulit yang masih tertakluk kepada undang-undang kerahsiaan negara, termasuklah perbincangan dalam Kabinet dan urusan berkaitan dengan jawatannya selaku Peguam Negara.

Apandi berkata biarpun bukan lagi Peguam Negara, namun Tommy Thomas masih lagi tertakluk kepada sumpah memegang rahsia yang diikrarkan semasa memegang jawatan terbabit.

“Pendedahan itu pada hemah saya adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 8, OSA 1972 dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

Justeru, Apandi berharap polis akan menjalankan siasatan rapi terhadap isi kandungan buku berkenaan secara keseluruhannya termasuklah perbuatan jenayah dilakukan oleh penulis dan penerbitnya.

Katanya lagi, tujuan beliau membuat laporan polis adalah antara lain untuk meminta pihak berkuasa memastikan semua pihak dianiaya, difitnah dan dihina dalam buku berkenaan ditulis Thomas berkenaan mendapat keadilan sewajarnya terutama pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara.

“Apa yang terkandung dalam buku Tommy Thomas menunjukkan sifat beliau yang memandang rendah dan tidak menghargai individu merupakan tulang belakang perundangan negara.

“Walaupun saya dilemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah semasa menjadi Peguam Negara namun saya tidak pernah sesekali melepaskan satu pun cerita atau maklumat termasuk dalam buku atau memoir kerana saya tahu ia adalah rahsia negara,” katanya.

Sementara itu, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini membuat laporan polis berhubung Tommy Thomas menerusi buku tulisannya.

Laporan polis itu dibuat oleh Exco Pemuda UMNO Malaysia, Muhamad Nur Aizat Noor Azam dan  Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin di Balai Polis Jalan Travers, Brickfield, Kuala Lumpur tengahari tadi.

Menurut Aizat, Pemuda UMNO melihat tulisan dan dakwaan Tommy Thomas di dalam bukunya itu sebagai semberono dan boleh mengundang pelbagai persepsi buruk terhadap masyarakat.

“Pemuda UMNO membuat laporan polis ini kerana melihat isu tulisan dan dakwaan Tommy Thomas itu adalah serius dan semberono. Tommy Thomas seharusnya malu terhadap dirinya sendiri dengan menghasilkan buku yang lebih kepada satira politik untuk mencari salah pihak lain dan cuba menutup kesalahan diri sendiri semasa menjadi Peguam Negara”, katanya.-Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.