3 fasa vaksinasi COVID-19 mula hujung Februari

54

4 FEB: Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula pada hujung bulan ini dengan melibatkan 80 peratus penduduk atau 26.5 juta orang akan dilaksanakan dalam tiga fasa.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, fasa pertama akan melibatkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan.

“Fasa ini amat penting untuk melindungi frontliners kita yang berada di barisan hadapan dalam memerangi pandemik COVID-19.

“Fasa pertama program imunisasi ini dijadualkan tamat pada bulan April,” katanya ketika menyampaikan penjelasan terkini mengenai pelaksanaan Proklamasi Darurat dan pemasyhuran Ordinan Darurat dalam mengurus pandemik COVID-19 yang disiarkan secara langsung melalui Facebook hari ini.

Beliau menambah, fasa kedua pula akan melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi dijangkiti COVID-19, terdiri daripada warga emas dan golongan rentan iaitu yang berusia 60 tahun ke atas, yang mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi serya orang kurang upaya (OKU).

“Sebanyak 9.4 juta orang dianggarkan akan menerima vaksin di bawah fasa kedua ini, yang akan berlangsung mulai April hingga Ogos 2021,” jelansnya.

Muhyiddin memberitahu, bagi fasa ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, baki penerima vaksin merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, yang akan bermula dari bulan Mei 2021 hingga Februari 2022.

“Fasa ini penting untuk membentuk perlindungan kelompok atau herd immunity dan seterusnya mengawal pandemik ini secara menyeluruh,” ujarnya.

Perdana Menteri berkata, untuk memastikan program tersebut berjalan dengan lancar, teratur serta memudahkan orang ramai, lebih 600 pusat simpanan yang juga pusat pemberian vaksin akan dibuka di seluruh negara.

“Saya telah mengarahkan pihak berkuasa agar menggunakan pelbagai kemudahan termasuk fasiliti kesihatan awam dan swasta, stadium, pusat konvensyen, dewan orang ramai serta universiti sebagai pusat vaksinasi.

“Peruntukan di dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 akan digunakan oleh kerajaan untuk mengambil alih secara sementara dewan-dewan dan kemudahan-kemudahan yang lain bagi tujuan persediaan untuk melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan,” katanya.

Beliau juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan segala sumber yang ada bagi menjayakan program vaksinasi dengan menghulurkan bantuan sama ada dari aspek perubatan dan bukan perubatan, khususnya aspek pendidikan kesihatan di pusat-pusat vaksinasi.

“Kerajaan mengalu-alukan penyertaan sukarelawan, mahasiswa dan mahasiswi, pemimpin masyarakat, para agamawan, badan bukan kerajaan, Persatuan Bulan Sabit Merah, St. John’s Ambulance, pihak swasta dan rakyat Malaysia keseluruhan.

“Maklumat lanjut mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan termasuklah mengenai tatacara pendaftaran, lokasi pusat pemberian vaksin serta informasi lain yang berkaitan akan dimaklumkan dalam sedikit masa lagi,” ujarnya.

Muhyiddin turut mengumumkan pelantikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan beliau akan mengetuai satu Pasukan Petugas Khas yang menguruskan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan khususnya isu-isu berkaitan logistik dan penyelarasan dengan negeri-negeri dan agensi-agensi kerajaan.

“Ini bagi membolehkan Kementerian Kesihatan untuk terus menumpukan kepada fungsi-fungsi perkhidmatan kesihatan dalam menangani penularan wabak COVID-19 yang masih menunjukkan trend membimbangkan,” jelasnya.

Sementara itu, Perdana Menteri menyatakan, kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan Negeri untuk memastikan setiap tindakan dilaksanakan secara bersepadu.

“Saya telah mengundang semua Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk menghadiri Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 yang diadakan tiga kali seminggu. Banyak isu yang turut melibatkan kepentingan serta peranan negeri dibincangkan dalam sidang khas ini,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.