13,000 kakitangan American Airlines bakal hilang kerja

33

4 FEB: Kira-kira 13,000 pekerja syarikat penerbangan, American Airlines Group Inc berdepan nasib tidak menentu berikutan terdapat kemungkinan mereka akan hilang pekerjaan.

Memetik laporan Bloomberg, langkah itu merupakan yang kedua diambil oleh American Airlines dalam masa enam bulan.

Berita itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif American Airlines, Doug Parker dan Presidennya, Robert Isom melalui e-mel kepada para pekerja.

Pengurangan pekerja terpaksa dilakukan berikutan industri penerbangan di Amerika Syarikat (AS) terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

“Setakat akhir 2020, kami percaya sepenuhnya terhadap jadual musim panas di mana kita akan menerbangkan semua pesawat syarikat dan memerlukan kekuatan pasukan sepenuhnya.

“Malangnya, ia tidak lagi berlaku. Vaksin tidak diedarkan sepantas yang kami yakini, malah sekatan baharu ke atas atas perjalanan antarabangsa yang memerlukan penumpang diuji negatif COVID-19 telah menjejaskan permintaan,” jelas mereka.

Parker dan Isom menambah, situasi lima minggu pertama tahun ini adalah sama dengan apa yang dilalui tahun lalu.

Minggu lalu, American Airlines memberitahu pekerjanya bahawa pekerjaan mereka adalah tidak terjamin.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.