‘Tuisyen Cikgu Saarani’ bantu calon peperiksaan utama

27

3 FEB : Kerajaan negeri Perak melancarkan Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) untuk membantu murid dan pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama termasuk 40,642 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya menduduki ujian pada tahun 2020 tetapi ditangguhkan ke tahun ini ekoran pandemik COVID-19.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, program tersebut juga dijangka dapat memberi manfaat kepada hampir 200,000 pelajar di seluruh negeri ini, terutama untuk pelajar yang datang daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah (B40).

“Turut mendapat manfaat secara langsung daripada program TCS ialah 37,894 pelajar yang menduduki peperiksaan utama pada tahun ini, pelajar tingkatan empat seramai 30,320, pelajar tingkatan satu seramai 31,761 dan murid tahun satu (31,742).

“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak akan menyediakan guru dan tenaga pengajar yang memberikan tuisyen atau kelas tambahan bagi subjek-subjek kritikal iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah melalui program tersebut, katanya menerusi sidang media pelancaran program itu yang diadakan secara maya hari ini.

Katanya program yang pertama di Malaysia itu bakal merangkumi inisiatif dan bantuan khusus iaitu tuisyen dan kelas tambahan, bantuan khas makanan, program latih tubi menjelang peperiksaan, seminar menjawab soalan peperiksaan dan penyediaan bahan pengajaran berasaskan video interaktif.

Saarani yang juga bekas guru berkata, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan RM2.7 juta bagi bantuan khas makanan kepada 35,639 calon SPM yang menghadiri sesi persekolahan harian dan kelas tambahan di sekolah sebagai persiapan akhir menjelang peperiksaan buat permulaan.

“Calon SPM berkenaan akan diberikan makanan tengah hari secara harian selama 15 hari sehingga mereka menduduki peperiksaan yang dijadualkan bermula pada 22 Feb ini,” ujarnya.

Selain menggunakan dana kerajaan, kata Saaranni peruntukan berkenaan turut meliputi sumbangan kewangan daripada syarikat milik kerajaan negeri (GLC) iaitu Perbadanan Menteri Besar, Lembaga Air Perak, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak.

“Program ini akan melibatkan 244 sekolah dan 488 guru itu merupakan idea hasil perbincangan bersama pelbagai pihak termasuk exco kerajaan negeri, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta JPN Perak dalam usaha membasmi kemiskinan menerusi pendidikan yang turut terjejas akibat penularan wabak COVID-19,” jelasnya lagi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Ahmad Saidi Mohamad Daud; Pengarah Pelajaran Negeri Perak Dr Mohd Suhaimi Mohamad Ali dan Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Negeri Perak Suhaimi Harun.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.