PM ucap takziah atas pemergian Jamali Shadat

77

3 FEB : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga penghibur dan pelawak terkenal tanah air, Datuk Jamali Shadat yang meninggal dunia hari ini.

Muhyiddin menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya berkata, pemergian Jamali Shadat merupakan satu kehilangan kepada semua, terutama industri seni tanahair.

“Ramai antara kita tentunya membesar dengan mengikuti lakonan serta lawak jenaka Allahyarham yang sarat dengan nilai kekeluargaan dan keharmonian antara kaum.

“Salam takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan insan tersayang,” kata Muhyiddin sambil  mendoakan agar Allah SWT merahmati roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.

Allahyarham Jamali Shadat yang dilahirkan di Bukit Kapar, Klang, Selangor mempunyai lapan anak dan 39 cucu cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama Atan bersama atuknya serta rakan berbilang kaum pada zaman kegemilangannya, 1980-an.

Selain itu, pelawak lagenda yang terkenal sejak era 1970-an itu turut mempunyai kebolehan meniru dialek seperti Mandarin, Jawa dan Tamil dalam persembahan pentas.

Jamali Shadat meninggal dunia kira-kira 8.30 pagi tadi, pada usia 78 tahun di kediamannya di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.