Orang awam diminta buat aduan terus kepada JAS

129

3 FEB :  Orang ramai diminta membuat aduan pencemaran secara terus ke Jabatan Alam Sekitar bagi membantu mengesan sebarang aktiviti yang menyebabkan berlakunya pencemaran alam.

Ketua Pengarahnya Norlin Jaafar, berkata ini penting dalam usaha untuk membantu jabatan berkenaan memelihara alam sekitar daripada tercemar terutama dari pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Orang awam boleh membuat aduan pencemaran secara terus ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau e-mel ke [email protected] atau melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” ujarnya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu,  Norlin berkata, JAS telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian pembuangan haram bahan kimia di rizab Sungai Langat, Taman Seri Reko, Kajang semalam.

JAS Negeri Selangor sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan pemeriksaan di lokasi petang semalam mendapati terdapat 21 tong berisi larutan cecair yang berbau seperti pelarut, katanya lagi.

“Tiada tumpahan cecair dikesan di atas tanah semasa siasatan dan tidak kelihatan sebarang cecair mengalir di atas tanah.

“Kawasan berkenaan juga telah ditutup bagi mengelak sebarang kesan bahan kimia kepada orang awam, manakala sampel bahan kimia tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Kertas siasatan menurut beliau dibuka mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuk Seksyen 34A iaitu gagal mengemukakan laporan mengenai kesan kepada alam sekeliling (EIA) daripada aktiviti yang ditetapkan (penstoran luar tapak) dan Seksyen 34B iaitu menempatkan buangan terjadual di premis tanpa mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah.

Siasatan turut membabitkan Seksyen 18(1) iaitu menjalankan aktiviti di premis yang ditetapkan tanpa mendapat apa-apa lesen daripada Ketua Pengarah dan Seksyen 19(a) iaitu menjalankan aktiviti di premis yang ditetapkan tanpa mendapat apa-apa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah.

“Pihak JAS sedang giat memburu pelaku yang bertanggungjawab terhadap insiden ini dan tangkapan akan dibuat ke atas orang yang disyaki dalam masa terdekat,” kata Norlin.

Terdahulu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya akan melakukan siasatan lanjut berikutan penemuan tong-tong berisi bahan buangan berjadual itu yang berpotensi menjadi punca pencemaran sungai

Get real time updates directly on you device, subscribe now.