Peniaga mohon MKN lanjut waktu operasi perniagaan

56

3 FEB : Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, cadangan agar kerajaan membenarkan operasi perniagaan sehingga 12 malam akan beliau kemukakan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, untuk dipanjangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut Rosol dalam satu kenyataan hari ini, peniaga kendera saji mencadangkan perkara tersebut kepadanya ketika beliau membuat tinjauan ke dua tapak ‘food truck’ itu di Putrajaya semalam.

“Pengusaha menyatakan rasa sukar untuk mengekalkan momentum perniagaan dalam tempoh mencabar sekarang, justeru mereka mencadangkan kerajaan membenarkan operasi perniagaan sehingga 12 tengah malam dan pelanggan dibenar makan di premis dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

”Saya kemukakan cadangan itu kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk dipanjangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membolehkan penilaian dilakukan dan langkah sewajarnya diambil bagi mengatasi isu tersebut.

“Saya yakin, sebagai kerajaan yang prihatin, pihak yang berwajib akan memperhalusi cadangan berkenaan kerana isu bebanan survival perniagaan khususnya bagi peniaga kecil bukan hanya berlaku di Putrajaya, tetapi juga di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya tamat pada 4 Feb, dilanjutkan sehingga 18 Feb di seluruh negara kecuali di Sarawak, berikutan berlakunya trend peningkatan kes baharu COVID-19 di semua negeri.

Kerajaan membenarkan kedai makan, restoran dan khidmat penghantaran makanan untuk beroperasi sehingga pukul 10 malam bermula 22 Jan lepas, bagaimanapun aktiviti makan di kedai masih tidak dibenarkan dan hanya pembungkusan, penghantaran dan pandu lalu dibenarkan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.