Kluster baharu babitkan tempat kerja terus meningkat

53

3 FEB: Kluster baharu membabitkan tempat kerja hari ini terus meningkat apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 12 kluster lagi kluster COVID-19 membabitkan tempatan kerja hari ini.

Ketua Pengarah kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 12 kluster membabitkan tempat kerja ialah Kluster Ladang Tangkarason, Kluster Bandar Lama, Kluster Jalan Satu KKIP di Sabah; Kluster Jalan City dan Kluster Jalan Aman di Selangor; Kluster Jalan Pulai 55 dan Batu Tiga Setengah di Johor.

“Dua kluster tempat kerja di Kuala Lumpur pula ialah Kluster Taman Koperasi dan Kluster Kandi Sungai Besi, Kluster Lebuh Karak di Pahang, Kluster Tapak Bina Presint 7 di Putrajaya dan Kluster Mayang Pasir di Pulau Pinang,” jelasnya.

Selain kluster tempat kerja kata Noor Hisham, KKM turut mengesan satu kluster baharu pusat tahanan menjadikan keseluruhan kluster baharu yang dikesan hari ini ialah sebanyak 13 kluster.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sr Dr Noor Hisham berkata, dengan pertambahan 13 kluster baharu berkenaan menjadikan jumlah kumulatif kluster COVID-19 di Malaysia sehingga hari ini adalah 851 kluster, termasuk 439 kluster sudah tamat dan 412 kluster masih aktif.

“Lima kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Ikan Emas, Kluster Tapak Bina Awan Lembah, Kluster Tenun Merah, Kluster Sugud, dan Kluster Gerbang Pongsu.

“Jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini adalah 108 kluster dengan jumlah kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tapak Bina Muda (534 kes), Kluster Jalan Yahya (276 kes), dan Kluster Kebun Baru (63 kes),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Berikutan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat) dan amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn).

“Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu. KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Perincian 13 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini iaitu:

  1. KLUSTER JALAN CITY

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Sepang di Selangor. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 2 Februari 2021 hasil saringan bersasar sebuah pusat beli-belah di Sepang. Sehingga 3 Februari 2021, sejumlah 112 individu telah disaring, di mana 48 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  1. KLUSTER JALAN AMAN

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Hulu Selangor di Selangor. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 1 Februari 2021 hasil saringan bersasar sebuah kilang di Jalan Aman Suria, Taman Aman Suria, Bestari Jaya, Kuala Selangor. Sehingga 3 Februari 2021, sejumlah 255 individu telah disaring, di mana 38 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  1. KLUSTER JALAN PULAI 55

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Johor Bahru di Johor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-218360) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 1 Februari 2021 hasil saringan kemasukan ke wad. Kluster ini melibatkan penghuni dan pekerja sebuah pusat perlindungan di Jalan Pulai 55, Taman Pulai Utama, Johor Bahru. Sehingga 3 Februari 2021, sejumlah 58 individu telah disaring, di mana 42 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  1. KLUSTER BATU TIGA SETENGAH

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Batu Pahat di Johor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-157478) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 17 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Kuster ini melibatkan sebuah kilang di Batu 3 ½, Jalan Kluang, Batu Pahat. Sehingga 3 Februari 2021, sejumlah 119 individu telah disaring, di mana 19 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  1. KLUSTER TAMAN KOPERASI

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 pada 3 Februari 2021 hasil saringan bersasar sebuah institusi pengajian di Taman Koperasi, Kepong. Sehingga 3 Februari 2021, sejumlah 23 individu telah disaring, di mana 15 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  1. KLUSTER KANDI SUNGAI BESI

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-196461) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 28 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan pelajar-pelajar di sebuah insitusi awam. Nama kluster merujuk kepada lokaliti asrama pelajar-pelajar tersebut di Sungai Besi. Sehingga 3 Februari 2021, sejumlah 267 individu telah disaring, di mana 10 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  1. KLUSTER LADANG TANGKARASON

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Beluran di Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-224201) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 3 Februari 2021 hasil saringan di tempat kerja. Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja sebuah ladang kelapa sawit di Tangkarason, Beluran. Sehingga 3 Februari 2021, sejumlah 16 individu telah disaring, di mana kesemua kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  1. KLUSTER BANDAR LAMA

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Tawau di Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-170246) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 21 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja di sebuah pusat pentadbiran awam di Jalan Dunlop, Bandar Lama, Tawau. Sehingga 3 Februari 2021, sejumlah 56 individu telah disaring, di mana 24 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  1. KLUSTER JALAN SATU KKIP

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Tuaran dan Kota Kinabalu di Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-125888) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 7 Januari 2021 hasil saringan pra pekerjaan. Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja sebuah gudang di Jalan Satu KKIP Selatan, Kota Kinabalu. Sehingga 3 Februari 2021, sejumlah 194 individu telah disaring, di mana 30 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  1. KLUSTER MAYANG PASIR

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke- 209009) merupakan kes Influenza Like Illness (ILI) yang telah dilaporkan positif COVID-19 pada 30 Januari 2021. Kluster ini melibatkan sebuah kilang di Jalan Mayang Pasir, Bayan Lepas, Barat Daya. Sehingga 3 Februari 2021, sejumlah 217 individu telah disaring, di mana 47 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  1. KLUSTER LEBUH KARAK

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Bentong di Pahang. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke- 222489) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 2 Februari 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan pelajar-pelajar serta kakitangan di sebuah institusi pendidikan yang terletak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Bentong, Pahang. Sehingga 3 Februari 2021, sejumlah 170 individu telah disaring, di mana lapan (8) kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  1. KLUSTER TAPAK BINA PRESINT TUJUH

Kluster tempat kerja ini melibatkan Wilayah Persekutuan Putrajaya. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 pada 3 Februari 2021 hasil saringan bersasar sebuah tapak binaan di Presint 7. Sehingga 3 Februari 2021, sejumlah 136 individu telah disaring, di mana sembilan (9) kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  1. KLUSTER TEMBOK PENGKALAN CHEPA

Kluster pusat tahanan ini melibatkan daerah Kota Bharu di Kelantan. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 23 Januari 2021 hasil saringan kemasukan ke pusat tahanan di Pengkalan Chepa. Sehingga 3 Februari 2021, sejumlah 511 individu telah disaring, di mana 76 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.