JALSOA kesal Tommy hina pegawai undang-undang

61

3 JAN: Pandangan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’ adalah bersifat jahat malah menghina seluruh pegawai undang-undang.

Justeru, Persatuan Pegawai-pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA) mengecam tindakan Tommy berikutan menyifatkan mereka sebagai hanya menunggu gaji bulanan dan menantikan pencen selepas persaraan.

JALSOA berkata, tidak wajar untuk Tommy mempertikaikan kemampuan, keupayaan dan keboIehan pegawai undang-undang di bawah seliaan beliau dalam tempoh yang singkat apatah lagi menyebut dengan jelas nama pegawai undang-undang dalam bukunya dengan cemuhan.

“Pegawai undang-undang yang mempunyai kelayakan dan kelulusan akademik yang setaraf dengan peguam swasta hadir mewakili kerajaan dan berjuang dalam pertikaian pihak-pihak di mahkamah termasuk pertikaian dan rundingan antarabangsa demi kepentingan negara.

“Pandangan Tommy amat tidak bertamadun dan mencerminkan kedangkalan pemikirannya. JALSOA amat terkilan dan terjejas dengan kenyataan beliau tersebut,” kata menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, JALSOA memberitahu, Tommy sebagai Peguam Negara ketika itu juga adalah Ketua Perkhidmatan kepada Pegawai Undang-Undang dalam Skim Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

Persatuan itu berkata, pegawai undang-undang sama ada yang ditempatkan di Pejabat Peguam Negara (AGC) mahupun di mahkamah sentiasa menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan mengikut peruntukan undang-undang tanpa mengira siapakah Peguam Negara atau kerajaan yang memerintah.

“Kenyataan-kenyataan dalam buku tersebut menunjukkan beliau telah salah arah dan salah tanggapan mengenai peranan Pegawai Undang-Undang dalam skim perkhidmatan ini.

“Kami tidak bekerja untuk mengejar populariti individu, malahan dasar kerahsiaan, integriti dan profesionalisme yang ditekankan di dalam perkhidmatan awam sentiasa melatari setiap tindakan dan tatakerja pegawai undang-undang,” katanya.

Sementara itu, menerusi kenyataan sama, JALSOA berkata, sebarang rasa tidak puas hati Tommy semasa berurusan dengan pegawai undang-undang tidak wajar dan tidak patut dicoretkan untuk tatapan umum.

“Persepsi tersebut adalah ciptaan Tommy sendiri atas kegagalannya dalam menerajui AGC serta memahami pentadbiran perkhidmatan awam.

“Tommy sewajarnya menjaga kehormatan dan nama baik Peguam Negara yang pernah disandang beliau, serta institusi perkhidmatan perundangan dalam perkhidmatan awam sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.