Ingkar PKP: 601 kena kompaun, 10 lagi direman

46

3 FEB: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 611 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan (PKP)

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 601 individu dikompaun manakala 10 orang pula direman.

“Antara kesalahan direkodkan tidak memakai pelitup muka (145), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (109), tiada penjarakan fizikal (107), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (87), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (50), keluar rumah tanpa alasan munasabah (31) dan lain-lain (82).

“Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan. Kawalan Sempadan Negara,” katanya menerusi kenyataan media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hari ini.

Berhubung Op Benteng semalam, beliau memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas tiga kenderaan darat.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 15,280 operasi sanitasi awam merangkumi 146 zon dilakukan di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu.

“Semalam, sebanyak 63 operasi sanitasi telah dilaksanakan meliputi 37 zon merah, dua (2) zon jingga, tiga (3) zon kuning dan satu (1) zon hijau di seluruh negara.

“Operasi Sanitasi ini melibatkan 414 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 98 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta 56 buah jentera JBPM,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, sejak 24 Julai tahun lalu sehingga semalam, seramai 115,580 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di 75 hotel dan 14 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Seramai 8,134 individu dikuarantin dan secara kumulatifnya, seramai 106,969 orang dibenarkan pulang manakala 477 lagi dibawa ke hospital,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.