Fitnah bunuh Altantuya, Najib mahu saman Tommy RM10j

2,606

3 FEB: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu memfailkan saman RM10 juta terhadap bekas Peguam Negara. Tan Sri Tommy Thomas sekiranya beliau gagal memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang didakwa berbaur fitnah terhadapnya berhubung pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Tommy didakwa berbuat demikian menerusi tulisannya dalam buku berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang diterbitkan baru-baru ini.

Firma guaman Tetuan Shafee & Co, yang mewakili Najib, dalam surat tuntutan berkata. ia telah diarahkan untuk menuntut agar kenyataan itu ditarik balik dengan jelas daripada buku itu dan permohonan maaf sepenuhnya bagi fitnah dalam bab 42 di bawah tajuk ‘Altantuya.’

“Anak guam kami juga telah mengarahkan kami agar menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta daripada anda bagi kecederaan terhadap reputasinya serta aku janji untuk tidak mengulangi dakwaan dan komen terbabit,” jelasnya.

Dokumen itu turut menyatakan bahawa dengan inferens dan sindiran yang jelas, Tommy telah menghantar mesej bahawa beliau, sebagai Peguam Negara dan Pendakwa Raya ketika itu, berpuas hati dengan kebenaran dakwaan dua individu yang telah disabitkan bahawa Najib terlibat dalam mengarahkan mereka membunuh Altantuya.

“Kenyataan anda yang dipertikaikan telah menyatakan bahawa anak guam kami amat cuai, bersikap melulu, tidak bertanggungjawab, sengaja, berniat jahat dan dibuat dengan tujuan merendahkan harga diri serta reputasi baik anak guam kami di mata orang awam selain mendedahkan anak guam kami kepada kebencian, cemuhan, penghinaan dan ejekan umum,” katanya.

Surat itu juga menyatakan bahawa kenyataan tersebut adalah jelas bermotifkan niat jahat dan secara prinsipnya dilakukan demi kepentingan diri Tommy dalam mencari publisiti murahan yang didorong oleh egonya, sensationalisme dan keuntungan.

“Oleh itu, kami menuntut jawapan yang memuaskan daripada Tommy sebelum 12 tengah hari Jumaat ini, jika kami tidak menerimanya, arahan jelas untuk kami ialah memulakan prosiding perundangan pada awal minggu depan,” katanya.

Peguam Datuk Baljit Singh Sidhu, dalam kenyataan berasingan hari ini, memaklumkan bahawa Tommy telah tersalah fakta dalam memoirnya, terutama dalam bab mengenai Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) yang membabitkkan kes anak guamnya iaitu bekas Pengerusi AIAC, Sundra Rajoo.

Beliau berkata fakta yang tepat adalah semakan kehakiman telah difailkan terlebih dahulu di mahkamah sebelum pertuduhan dikenakan ke atas anak guamnya, seperti yang dinyatakan dalam buku itu.

“Paling penting ialah semakan kehakiman itu masih tertangguh di peringkat Mahkamah Persekutuan, jadi untuk menyatakan perkara ini dalam buku tersebut adalah bersifat sub judice serta memfitnah dan sebagai bekas Peguam Negara, beliau sepatutnya lebih mengetahui tentang perkara ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.