Dituduh memfitnah, polis panggil Tommy Thomas

1,812

3 FEB: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, mengesahkan polis Selangor sudah membuka kertas siasatan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung dakwaan memfitnah menerusi kandungan bukunya berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang didedahkan kepada umum pada Isnin lalu.

Menurut beliau, kertas siasatan dibuka selepas pihaknya menerima laporan daripada bekas Pegawai Kanan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria di Balai Polis Cyberjaya, semalam.

“Laporan polis diterima di Cyberjaya pada 2 Februari 2021 di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana dakwaan memfitnah.

“Pihak polis akan memanggil beliau (Tommy) secepat mungkin bagi memastikan siasatan kes ini dapat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mohamad Hanafiah menafikan dakwaan Tommy yang menuduhnya tidak mampu mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak atas kesalahan rasuah dalam kes SRC International.

Justeru, beliau yang bersara sebagai pegawai penyelidik kanan di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) pada Ogos lalu telah membuat laporan polis dan menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat Thomas atas kesalahan memfitnah dan mencemarkan reputasinya.

Dalam laporan yang dibuat di Balai Polis Cyberjaya malam tadi, Mohamad Hanafiah berkata, polis harus menyiasat Tommy di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana juga mencemarkan reputasi pegawai Jabatan Peguam Negara (AGC) lain dan imej firma guaman kerajaan.

“Penulisan Tommy Thomas dalam buku beliau adalah tidak benar sama sekali dan memburukkan imej saya sebagai Timbalan Pendakwa Raya, selama 33 tahun, telah memegang banyak jawatan dan mengendalikan kes kepentingan awam sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

“Tuduhan Tommy yang saya tidak mampu mendakwa dalam kes-kes berprofil tinggi seperti SRC bertujuan untuk menjatuhkan reputasi saya,” katanya seperti dipetik daripada laporan polis itu. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.