Bekalan disk LKM mencukupi seluruh negara

29

3 FEB: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan bekalan disk Lesen Kenderaan Motor (LKM) mencukupi bagi menampung urus niaga pelanggan di seluruh negara.

Perkara itu dimaklumkan oleh JPJ sambil menyatakan bekalan adalah mencukupi untuk cawangan di JPJ, Pos Malaysia, MyEG dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Untuk makluman, pihak JPJ dengan kerjasama pembekal dokumen disk LKM telah menghantar bekalan sebanyak 1,145,000 keping disk LKM kepada cawangan JPJ, Pos Malaysia, MyEG dan PUSPAKOM pada Januari 2021 dan tambahan 420,000 keping lagi baru-baru ini agar tiada masalah putus bekalan timbul,” kata JPJ dalam kenyataan media, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas sebuah portal kelmarin menerbitkan berita versi bahasa Mandarin bertajuk “Kekurangan pelekat cukai jalan berlaku di seluruh negara, peniaga kereta kehilangan peluang perniagaan Tahun Baharu”.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan sama, JPJ memberi jaminan bahawa isu kekurangan bekalan disk LKM tidak akan berlaku supaya pengguna tidak lagi menghadapi kesulitan menjalankan urus niaga berkaitan LKM.

“Walau bagaimanapun, para pelanggan dinasihati agar mengutamakan urus niaga secara online serta tidak terburu-burumendapatkan dokumen fizikal di kaunter-kaunter bagi mengelakkan
kebanjiran orang ramai di cawangan JPJ dan rakan niaga ketika pandemik COVID-19

“Ini adalah selaras dengan pengecualian memperbaharui Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Kenderaan Motor persendirian dari 1 Februari hingga 31 Mac hadapan,” jelas JPJ. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.