Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Jamali Shadat

38

3 FEB : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah,  menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga penghibur terkenal tanah air, Dato’ Jamali Shadat yang telah kembali ke rahmatullah hari ini.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada dunia hiburan.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” titah baginda menerusi satu kenyataan yang dimuatnaik menerusi Facebook rasmi Istana Negara.

Allahyarham Jamali Shadat dilahirkan di Bukit Kapar, Klang, Selangor mempunyai lapan anak dan 39 cucu.

Penghibur legenda itu cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama Atan bersama atuknya serta rakan berbilang kaum pada zaman kegemilangannya, 1980-an.

Allahyarham terkenal kerana mempunyai kebolehan meniru dialek seperti Mandarin, Jawa dan Tamil dalam persembahan pentas.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.