1,658 kes warga asing, 2,618 kes libatkan warganegara

35

3 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini mengesan sebanyak 1,658 kes baharu yang melibatkan bukan warganegara, manakala 2,618 kes pula melibatkan warganegara, menjadikan jumlah keseluruhan kes baharu yang dikesan hari ini sebanyak 4,284 kes.

Daripada jumlah tersebut, 4,276 kes merupakan jangkitan tempatan dan lapan adalah kes import yang menjadikan jumlah kumulatif kes jangkitan COVID-19 di negara ini ialah sebanyak 226,912 kes setakat ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, seramai 17 rakyat tempatan dan seorang warga asing menjadi korban terbaharu kes COVID-19 di Malaysia dalam tempoh 24 jam lalu, sekali gus menjadikan bilangan keseluruhkan kes kematian meningkat kepada 809 orang.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan lima kes di Selangor, masing-masing tiga kes di Sarawak dan Negeri Sembilan, dua kes di Perak, dan masing-masing satu kes di  Melaka, Kelantan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, dan Sabah.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga ingin mengesahkan terdapat 3,804 kes sembuh hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kes sembuh sepenuhnya adalah 77,794 kes atau 78.4 peratus.

“Seramai 307 kes pula masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 141 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.


Dalam pada itu, kata Dr Noor Hisham, Selangor masih kekal negeri tertinggi pertambahan kes harian iaitu sebanyak 1,572 kes atau 36.7 peratus diikuti oleh Johor, 964 kes dan Kuala Lumpur (651 kes).

Beliau berkata daripada 1,572 kes di Selangor, sebanyak 1,309 kes (83.3 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Sebanyak 122 kes (2.8 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Mempaga (54 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (41 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (14 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (5 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (4 kes), Kluster Tembok Taiping (2 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (1 kes), dan Kluster DTI Sepang 2 (1 kes),” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.