USM terima kemasukan pelajar secara berfasa mulai 1 Mac

174

2 FEB : Seiring dengan garis panduan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi satu kenyataan hari ini berkata, universiti tersebut bersedia menerima kemasukan pelajar ke kampus secara berfasa bermula 1 Mac depan.

Menurut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM Profesor Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, pengumuman terkini daripada KPT dilihat sebagai satu langkah proaktif ke arah mewujudkan satu persefahaman dalam kalangan Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini.

“USM juga sentiasa peka dan mengambil kira beberapa faktor utama, dalam menyediakan pelan senario sebagai persediaan menerima kemasukan pelajar, seiring dengan garis panduan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Pelan itu meliputi beberapa perkara merangkumi keselamatan semua warga kampus, keperluan kritikal dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), serta memastikan kualiti PdP terjaga dengan baik.

“Ia memang sesuai dengan mengambil kira keadaan semasa COVID-19 pada masa kini.

“Pastinya ini adalah normal baharu dalam dunia universiti dan semua pihak perlu menyahut cabaran ini secara positif,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

Terdahulu pada 31 Jan, KPT telah menyenaraikan enam kategori pelajar berkeperluan untuk kembali ke kampus secara fizikal bermula 1 Mac 2021, antaranya pelajar peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas, selain daripada  pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif, untuk melaksanakan PdP dalam talian.

Selain itu, para pelajar di peringkat asasi atau setara dan diploma yang sedia ada di kampus untuk meneruskan pembelajaran secara hibrid, pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom, pelajar Berkeperluan Khas (OKU) dan akhir sekali pelajar yang menduduki peperiksaan MUET, antarabangsa dan badan profesional.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.