Polis Sabah tidak halang NGO lakukan aktiviti kebajikan

92

2 FEB : Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya tidak menghalang sebarang penganjuran aktiviti kebajikan anjuran sukarelawan termasuk misi bantuan yang dilakukan pendakwah bebas, Ebit Lew.

Namun menurut beliau, kesemua sukarelawan yang ingin melakukan akitiviti kebajikan digalakkan untuk merujuk dengan pihak berkuasa seperti polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terlebih dahulu atas faktor keselamatan.

“Polis atau Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) tidak pernah menghalang atau mengeluarkan sebarang arahan untuk menghentikan program Ustas Ebit Lew di kawasan itu.

“Bagaimanapun, mereka digalakkan untuk merujuk dengan pihak berkuasa seperti polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terlebih dahulu atas faktor keselamatan semata-mata,” kata beliau dalam kenyataan tersebut.

Kata Hazani lagi, pihaknya mengalu-alukan kerjasama mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan program amal kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan.

Dalam isu ini, ada kenyataan yang ditularkan di media sosial mengaitkan Perintah Berkurung dikuatkuasakan meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Hazani menjelaskan, perintah berkenaan dikeluarkan adalah bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

“Perintah itu tidak kena-mengena dengan program yang dianjurkan sukarelawan atau pihak NGO di mana-mana kawasan di negeri ini. Cuma kita minta beliau rujuk dengan pihak berwajib adalah bagi mengenal pasti status pulau dan penduduk terbabit,” ujarnya.

Ebit dalam hantaran di Facebooknya hari ini mendakwa, beliau terpaksa menghentikan misi bantuan kerana tidak dibenarkan melawat ke pulau-pulau sekitar Semporna.

Beliau yang terkenal sebagai pendakwah dermawan berkata, beliau boleh dikenakan hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun jika aktiviti kebajikan berkenaan diteruskan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.