PKPD Felcra Nasaruddin, Felda Bersia mula 3 Feb

82

2 FEB: Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokasi iaitu Felcra Nasaruddin, Perak Tengah, serta Peringkat 2 dan sebahagian Peringkat 1, Felda Bersia, Hulu Perak, Perak, mulai esok hingga 16 Februari 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan juga bersetuju melanjutkan PKPD di Kg. Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang, Batang Padang, Perak selama 7 hari lagi bermula 4 sehingga 10 Februari 2021.

Ismail Sabri berkata kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPD di Felcra Nasaruddin selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan kes yang mendadak dalam daerah Perak Tengah dengan 28 kes melibatkan kluster di tanah rancangan berkenaan.

Beliau berkata KKM turut melaporkan seramai 45 orang sedang menjalani kuarantin wajib di rumah (HSO) di lokaliti ketika ini.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negera (MKN) hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Felcra Nasaruddin, Perak Tengah, Perak mulai 3 Februari hingga 16 Februari 2021,” katanya dalam sidang media sempena pelanjutan PKP 2.0 hingga 18 Februari 2021 hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan membuat keputusan melaksanakan PKPD di Peringkat 2 dan sebahagian Peringkat 1, Felda Bersia, Hulu Perak selepas KKM melaporkan peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan terbabit di mana sehingga kini, 20 daripada 50 individu menjalani ujian saringan disahkan positif.

Justeru, beliau berkata atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, Sidang Khas MKN bersetuju untuk melaksanakan PKPD di (Peringkat 2 dan sebahagian Peringkat 1) Felda Bersia, Hulu Perak bermula 3 sehingga 16 Februari 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar yang melibatkan 800 penduduk,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PKPD di Kg. Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang, Batang Padang, Perak yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan tujuh hari lagi sehingga 10 Februari 2021 berdasarkan penilaian risiko dan nasihat KKM.

Katanya, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 309 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 27 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

“KKM mengesahkan masih terdapat 34 penduduk yang masih menjalani HSO dan seorang kes positif masih dalam tempoh isolasi. Justeru, atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kg. Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang, Batang Padang, Perak selama 7 hari lagi bermula 4 sehingga 10 Februari 2021,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengesahkan bahawa kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Blok C Dan Blok Sekolah Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar, Johor, selepas KKM melaporkan semua kes sembuh sepenuhnya dan tiada lagi keputusan ujian saringan COVID-19 yang belum keluar.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 22 ujian saringan dan kesemuanya positif COVID-19. Bagaimanapun, kesemua kes positif yang diisolasi di kedua-dua blok ini telah sembuh sepenuhnya dan tiada lagi sampel menunggu keputusan.

“Atas nasihat KKM, sidang Khas hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPD di Blok C dan Blok Sekolah di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar pada 3
Februari 2021 seperti yang dijadualkan,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata KKM dan MKN kini sudah merangka 15 Pelan Strategik bagi Menangani Pandemik COVID-19 sepanjang tempoh PKP 2.0.

Beliau berkata lima strategik yang dirangka KKM termasuklah untuk memutuskan rantaian transmisi; mengurangkan morbiditi dan kematian; memperkukuhkan diagnostik dan survelan; mencapai imuniti kelompok; meningkatkan tahap kesedaran dan
pembudayaan normal baharu.

“Strategi-strategi ini akan diperincikan oleh KKM. Selain itu, Sidang Khas hari ini juga turut mendengar pembentangan MKN berhubung strategi kerajaan dalam menghadapi pandemik COVID-19 termasuk pengurusan sektor ekonomi dalam fasa PKP 2.0.

“Selain itu, terdapat 10 strategi yang telah digariskan MKN termasuklah pertama tindakan perundangan melalui Ordinan Darurat: memperkukuh penguatkuasaan; pengurusan tempat tinggal kekerja : Task Force Penginapan Pekerja; pematuhan SOP di tempat kerja : pemantauan
agresif; pemantauan pematuhan menyeluruh : Flying Squad Agensi Kerajaan.

“Strategi lain termasuklah melaksanakan program saringan secara agresif; skuad ABC-19 (Agen Basmi Covid-19) : Peranan Sukarelawan Komuniti; penempatan sementara sektor swam : memperkasa agensi tunjang pengurusan pandemik; program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan; penggunaan teknologi : pengukuhan tindakan kesihatan; naziran pelaksanaan tindakan : memastikan pelaksanaan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.