Penduduk lapor polis 13 warga Myanmar tak patuh SOP

19

2 FEB :  Pasukan Task Force COVID-19 dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi mengarahkan 13 warga Myanmar yang memakai gelang kuarantin balik ke lokasi kuarantin masing-masing setelah mereka dikesan mengunjungi sebuah kedai runcit di Taman Kota Jaya semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, pasukan Task Force COVID-19 itu bergegas ke lokasi terbabit setelah mendapat aduan daripada orang ramai.

“Kehadiran 13 warga asing yang memakai gelang kuarantin COVID-19 berwarna putih mengunjungi kedai runcit kawasan tersebut telah menimbulkan kegusaran orang ramai.

“Bertindak atas maklumat awam, anggota pasukan pemantauan bersama pihak Kementerian Kesihatan bergegas ke lokasi dan berjaya menahan mereka di sekitar kawasan rumah kedai berkenaan.

“Semua individu terbabit adalah warga Myanmar meliputi empat lelaki dan sembilan wanita berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun,” ujarnya menerusi satu kenyataan dalam facebook rasmi IPD Kota Tinggi.

Jela beliau lagi, hasil pemeriksaan lanjut mendapati mereka ke kedai runcit untuk membeli stok makanan selepas menjalani ujian calitan berkaitan Kluster Jalan Lombong serta dipakaikan gelang kuarantin Perintah Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO).

“Semua individu terbabit kemudian diarahkan balik ke lokasi kuarantin masing-masing dan tiada kompaun di keluarkan terhadap mereka,” katanya lagi.

Berikutan kejadian itu,  pasukan pemantauan melakukan rondaan untuk memastikan semua individu dikenakan HSO berkaitan Kluster Jalan Lombong, terus ke alamat kuarantin.

Kata Hussin, pihak polis mengucapkan terima kasih atas maklumat orang awam itu, dan ia amat digalakkan sebagai usaha bersama bagi memastikan komuniti terus berada dalam keadaan terbaik.

Sebarang aduan mengenai ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19, boleh disalurkan melalui Pusat Kawalan Daerah di talian 07-8837222.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.