Pejuang, Muda gagal patuh Akta Pertubuhan

239

2 FEB: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan, permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ditolak kerana kegagalannya mematuhi peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), berkaitan dengan perlembagaan parti.

Beliau berkata, antara punca utama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) terpaksa menolak pendaftaran Pejuang dan Muda adalah kerana intipati perlembagaan kedua-dua parti yang tidak teratur serta tidak spesifik.

“Ada orang buat pertubuhan kerana dia nak buat kasut terompah…jadi kilang buat kasut terompah buat pertubuhan kasut terompah.

“Itu pertubuhan apabila dia nak buat parti dia ada sifat yang berbeza dengan pertubuhan…walaupun ia nampak sama tapi bila pertubuhan parti dia kena ikut Perlembagaan negara,” katanya pada satu sidang media khas mengenai penolakan permohonan pendaftaran Muda dan Pejuang, hari ini.

hamzah zainudin
HAMZAH ZAINUDIN

Mengulas lanjut, Hamzah berkata antara kesalahan yang dikesan dalam perlembagaan parti Muda adalah tidak menyatakan had usia maksimum ahli parti berkenaan.

Hamzah berkata, pada mulanya Muda adalah satu tajaan mengikut parti yang diberikan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata Penubuhan parti Muda boleh diterima namun, nama parti itu perlulah tidak ada bangkangan daripada mana-mana pihak.

“Syed Saddiq sepatutnya membaca terlebih dahulu permohonan pendaftaran partinya sebelum menyalahkan RoS dan menteri atas kegagalan mendaftarkan Muda.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan usia mengundi seawal 19 tahun tetapi dia letak keahlian minimum 16 tahun. Selain itu, tiada had usia maksimum ditetapkan, jadi kalau berusia 41 tahun adakah masih menjadi ahli,” katanya

Berikutan itu, Hamzah mendedahkan, Syed Saddiq memang ada bertemu dengannya dan meminta agar beliau meluluskan parti yang didaftarkannya itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak akan berbuat demikian kerana tidak mencampuri urusan kendalian ROS.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.