Nicol David kebanggaan rakyat dan negara

79

2 FEB: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan bekas Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol David dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia, malam tadi, adalah satu kebanggaan buat negara dan rakyat Malaysia.

Muhyiddin berkata, kemenangan itu membuktikan sumbangan, keringat dan aksi beliau selama ini terus diperhatikan dunia walaupun bekas pemain nombor satu dunia selama 109 bulan berturut-turut itu telah menggantung raket.

Berikutan itu, Perdana Menteri berharap kejayaan Nicol dapat menyuntik motivasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berjuang mengharumkan nama negara dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Tahniah Nicol. Anda Kebanggaan Negara. Saya ingin berkongsi rasa bangga bersama seluruh peminat sukan tanah air, khususnya skuasy atas kejayaan bekas Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol Ann David yang baru sahaja dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia semalam.

“Kemenangan itu membuktikan sumbangan, keringat dan aksi beliau selama ini terus diperhatikan dunia walaupun bekas pemain nombor satu dunia selama 109 bulan berturut-turut itu telah menggantung raket.

“Saya berharap kejayaan Nicol dapat menyuntik motivasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berjuang mengharumkan nama negara dalam apa jua bidang yang diceburi,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook, hari ini.

Perdana Menteri juga berharap pemain pelapis dapat menjadikan kejayaan Nicol berkenaan sebagai pembakar semangat untuk pergi lebih jauh dalam bidang sukan.

“Kepada generasi muda yang baru berjinak-jinak dengan sukan ini dan pemain pelapis yang sedang mengembangkan prestasi, jadikan kejayaan Nicol sebagai pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh.

“Dengan iltizam yang betul dan usaha yang bersungguh-sungguh, tidak mustahil anda semua mampu menjadi seperti Datuk Nicol Ann David. Tahniah Nicol. Syabas Malaysia,” katanya.

Nicol dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia apabila menerima 318,943 undi selepas undian secara atas talian sejak 8 Januari lalu ditutup pada jam 9 malam tadi.

Jumlah undian yang diterima Nicol itu jauh meninggalkan pencabar utamanya yang juga legenda tarik tali Ireland, James Kehoe yang menerima 113,120 undian untuk berada di tempat kedua, diikuti dengan legenda powerlifting Ukraine, Larysa Soloviova di kedudukan ketiga dengan 80,790 undian.

Sebagai rekod, pemain hoki dari India, Ritu Pani memenangi anugerah terbabit bagi edisi 2019. Anugerah terbabit dianjurkan Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA) sebagai sambutan untuk ulang tahun ke-40 acara sukan dunia.

Penganjuran anugerah itu bertujuan memilih atlet terbaik sepanjang zaman yang pernah beraksi dalam mana-mana edisi sukan dunia yang diadakan buat pertama kalinya di Santa Clara, Amerika Syarikat pada 1981. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.