Kepala seperti mahu meletup diserang COVID-19

61

2 FEB: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, hari ini, berkongsi azab dan penderitaan dialaminya sepanjang beliau menjalani rawatan akibat terkena jangkitan COVID-19 baru-baru ini termasuklah sakit seluruh badan dan kepala seperti mahu meletup

Malah, Hamzah tidak malu mengakui bahawa beliau masih menjalani sesi fisioterapi dua kali seminggu untuk memulihkan kekuatan paru-parunya.

“Saya nak beritahu, saya nak maklumkan kepada semua pastikan kita patuh dengan penjarakan fizikal. Saya tak tahu daripada siapa saya mendapat jangkitan COVID-19 tapi bila dah kena, memang sakit. Siapa kata tak sakit?

“Sakit semua anggota badan macam kena demam urat, lemah badan. Kalau ia serang kepala, Allah… saya rasa macam nak meletup kepala, sakitnya tak kira, saya tak tahu nak cakap macam mana sakit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas kembali semula bertugas hari ini.

Sebelum ini Hamzah menjalani kuarantin seminggu sejak dibenarkan pulang pada 24 Januari lalu selepas menjalani rawatan 12 hari di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat dijangkiti COVID-19.

Beliau disahkan positif, beliau menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari di rumah kerana menjadi kontak rapat kepada seorang pegawainya.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, keadaan menjadi lebih teruk apabila bacaan enzim dalam hatinya meningkat setinggi 900, sehingga menyebabkan doktor yang merawat perlu berhati-hati ketika memberi ubat.

Sehubungan itu, tempoh pemulihan beliau agak perlahan selain mengalami demam sehingga suhu badan mencecah 38.9 darjah Celcius.

Sepanjang tempoh rawatan, Hamzah banyak menghabiskan masa dengan membaca al-Quran dan beribadah.

“Saya berdoa pada Allah supaya penyakit ini lari dari Malaysia. Macam mana nak lari dari sini? Kita kenalah memastikan diri dengar arahan serta tidak mengada-adakan cerita yang bukan-bukan untuk menakut-nakutkan orang.

“Mustahil Menteri Dalam Negeri sengaja mahu masuk hospital hampir sebulan jika bukan menjalani rawatan COVID-19,” katanya yang turut menafikan angka kes yang tinggi itu sengaja direka-reka kerajaan sedangkan ia adalah fakta sebenar.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.