Jangan bazir data percuma, guna untuk PdPR

98

2 FEB: Pelanggan perkhidmatan telekomunikasi khususnya pelajar, guru dan ibu bapa supaya menggunakan peruntukan data percuma dengan sebaik-baiknya bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerusi kenyataan media berkata, peruntukan data percuma itu sejak April tahun lalu merupakan tambahan kepada pakej langganan data sedia ada yang boleh digunakan untuk mengakses platform sidang video serta dapat menguruskan bahan-bahan pengajaran menerusi e-mel sepanjang hari tanpa sekatan waktu.

“Bagaimanapun, ia tidak terpakai untuk melayari media sosial, penstriman video, permainan dalam talian dan penstriman muzik.

“Oleh itu, pelanggan perkhidmatan telekomunikasi terutamanya golongan pelajar, guru dan ibu bapa, dinasihatkan untuk menggunakan peruntukan 1GB data percuma setiap hari atau 30GB data percuma sebulan, sebaik-baiknya bagi tujuan (PDPR),” kata SKMM.

Dalam pada itu, SKMM juga sentiasa mengalu-alukan bantuan dari syarikat pemberi perkhimatan yang prihatin untuk turut sama membantu menjayakan PdPR iaitu Celcom, Digi, Maxis, UMobile dan Telekom Malaysia (TM).

Menurut suruhanjaya itu lagi, pihak industri telekomunikasi turut menyediakan pakej Langganan Khas untuk pelajar yang bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) dan penuntut Institut Pengajian Tingga (IPT) bermula 6 Januari lalu hingga akhir April 2021.

“Pakej prabayar oleh Celcom, Digi, Maxis, UMobile dan TM ini menawarkan pas data 15GB denngan harga serendah RM20 sebulan.

“Pengguna pakej ini turut dapat menikmati peruntukan 1GB data percuma tambahan setiap hari seperti juga pelanggan pakej lain,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan sama, SKKM memberitahu, YTL Communication Sdn Bhd (YTL) juga menawarkan pakej istimewa dengan menyediakan kad SIM percuma dengan data sebanyak 40GB, kandungan percuma termasuk telefon percuma untuk pelajar daripada keluarga B40.

“Semua usaha itu diharap dapat mengurangkan beban ibu bapa, guru dan pelajar untuk mengikuti PdPR serta memastikan pendidikan generasi muda diberi keutamaan sewajarnya,” kata SKMM

Data 1GB percuma itu adalah antara inisiatif kerajaan sebelum ini dan dilanjutkan menerusi Pakej Bantuan Pelindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumum baru-baru ini. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.