PLKS tidak diperbaharui jika gagal jalani saringan

18

2 FEB :  Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menerusi satu kenyataan hari ini menggesa semua majikan yang belum melakukan ujian saringan terhadap pekerja asing agar segera berbuat demikian.

Menurutnya, mana-mana majikan yang gagal membuat ujian saringan COVID-19 terhadap pekerja asing sehingga 28 Feb ini boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing mereka tidak akan diperbaharui.

“Ini memandangkan melalui operasi dan pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mendapati masih banyak majikan yang gagal memastikan pekerja asing yang digajikan mereka membuat ujian saringan COVID-19, meskipun arahan telah dikeluarkan untuk berbuat demikian.

“Perkara ini penting memandangkan berlakunya peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini yang berkaitan kluster tempat kerja yang membimbangkan. Arahan ini adalah selaras dengan Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” tegasnya.

Beliau turut memaklumkan majikan yang menanggung kos saringan COVID-19 akan mendapat potongan cukai berganda bagi bayaran kos saringan pekerja yang dibuat sepanjang tahun ini.

Bermula 1 Jan, majikan diwajibkan memastikan pekerja asing yang digajikan mereka menjalani ujian saringan COVID-19 bagi membendung penularan wabak  COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.