16,000 bantuan makanan kepada penduduk Sarawak terjejas PKP

39

2 FEB : Sebanyak 16,000 bantuan bakul makanan akan diedarkan kerajaan negeri Sarawak kepada ketua isi rumah di Kapit, Song, Pelagus, Katibas, Bukit Goram dan sebahagian dari Belaga yang terkesan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula hari ini hingga 15 Feb depan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata,
keseluruhan peruntukan bagi program bantuan bakul makanan itu termasuk kos pengangkutan berjumlah RM1.42 juta.

“Bantuan bakul makanan itu akan diagihkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Kapit secara berperingkat-peringkat mulai Khamis.

“Dengan pelaksanaan PKP ini, pergerakan agak terhad dan kerajaan negeri memutuskan untuk memberi bantuan, sedikit sebanyak dapat meringankan beban masyarakat kita yang terkesan,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung rantaian makanan di bangunan Wisma Sumber Alam di sini, hari ini.

Katanya lagi,  pengagihan bantuan tersebut akan menggunakan pengangkutan bersesuaian mengikut keadaaan geografi di kawasan terbabit.

“Antara yang turut terlibat menyalurkan bantuan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, katanya.

“Bagi program bantuan bakul makanan di Sibu pula yang turut dikenakan PKP sejak 16 Jan lepas, 36,805 ketua isi keluarga telah menerima bantuan berkenaan sehingga kini,” ujarnya.

Enam kawasan itu dikenakan PKP susulan peningkatan kes COVID-19 melibatkan jangkitan tempatan dengan sebahagiannya daripada Kluster Pasai yang diisytihar pada 9 Jan lepas.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.