Vaksin COVID-19 fasa pertama tiba 26 Februari ini

93

1 FEB : Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, vaksin COVID-19 fasa pertama yang dibeli kerajaan daripada syarikat farmaseutikal Pfizer, akan tiba di Malaysia pada 26 Februari ini sebelum diagih ke negeri bagi suntikan penerima.

Kata Dr Noor Hisham, pihaknya menjangkakan agihan vaksin itu akan selesai dalam tempoh dua minggu.

“Apabila sampai di pintu masuk antarabangsa, kita akan agihkan vaksin, mungkin dalam tempoh seminggu dua.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga menerima lebih 3,000 permohonan untuk menjadi sukarelawan dalam Kajian Klinikal Fasa 3 vaksin COVID-19.

“Ramai yang mohon jadi sukarelawan tapi kita hanya perlukan 3,000 sukarelawan sahaja, jadi kita akan pilih dan setakat ini lebih 1,000 sukarelawan sudah disuntik dalam kajian klinikal ini,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini.

Pada 24 November tahun lalu, Malaysia mengumumkan akan mendapat bekalan awal 12.8 juta dos vaksin COVID-19 daripada Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.