Pesakit CKD perlu diberi keutamaan vaksinasi

17

1 FEB : Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan menggesa kerajaan memberikan keutamaan vaksinasi COVID-19 kepada pesakit yang menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD).

Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Datuk Dr Zaki Morad, Presiden Persatuan Nefrologi Malaysia Profesor Dr Abdul Halim Abdul Gafor dan Presiden Persatuan Transplantasi Malaysia Dr Rosnawati Yahya membuat satu kenyataan bersama memaklumkan langkah itu akan mengurangkan kesesakan di pusat haemodialisis Kementerian Kesihatan (KKM).

Mereka turut menzahirkan kebimbangan mengenai kesan jangkitan COVID-19 ke atas pesakit CKD terutama yang berada di tahap 5 dan menjalani rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang.

“Keutamaan hendaklah diberikan kepada pesakit yang menjalani rawatan haemodialisis dan dialisis peritoneal, pesakit yang telah menjalani pemindahan buah pinggang serta pesakit CKD tahap 3 dan 4 (pradialisis).

“Langkah ini juga dijangka mengembalikan keadaan normal di pusat haemodialisis swasta dan yang berada di bawah program badan bukan kerajaan (NGO).

“Pengalaman di seluruh dunia menunjukkan bahawa kumpulan pesakit ini amat terdedah kepada komplikasi serius jangkitan COVID-19 dan terdapat kematian yang ketara dalam kalangan mereka yang dijangkiti.

‘’Begitu juga dengan peningkatan risiko terhadap pekerja penjagaan kesihatan yang merawat kesemua pesakit ini untuk dijangkiti disebabkan pertemuan yang kerap,” menurut kenyataan itu.

Kata kenyataan itu lagi, kini terdapat kira-kira 50,000 pesakit yang memerlukan dialisis atau melakukan pemindahan buah pinggang dengan kebanyakan mereka menjalani rawatan haemodialisis.

“Kesemua pesakit mempunyai gangguan imuniti baik secara semula jadi akibat penyakit dihidapi atau disebabkan ubat-ubatan yang menjadikan mereka amat mudah terdedah kepada komplikasi.

“Turut menjadi kebimbangan ialah kesan kewangan yang besar ke atas pesakit serta keluarganya, pekerja dan pengurusan pusat haemodiaisis terbabit jika jangkitan COVID-19 berlaku,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.