MRSM buat laporan polis, nafi gagal patuhi SOP

104

1 FEB : Majlis Amanah Rakyat (Mara) hari ini dalam satu kenyataan hari ini menafikan tuduhan kononnya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, Selangor gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengawal penularan wabak COVID-19.

Sehubungan itu, agensi tersebut telah membuat laporan polis ekoran tuduhan palsu tersebut yang telah tular di aplikasi media sosial.

“Tindakan segera telah diambil dengan mewujudkan pasukan petugas khas yang diketuai oleh pengetua maktab dan dianggotai oleh guru dan staf sejak hari pertama COVID-19 dikesan, bagi menjalankan kerja-kerja sanitasi setiap hari dengan nasihat dan pemantauan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Sanitasi keseluruhan bangunan maktab telah dilakukan oleh pihak bomba pada 29 Jan. Seorang daripada pelajar yang bergejala telah ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS). Pelajar berkenaan tidak kritikal, hanya mengalami gejala batuk.

“Mara sentiasa memastikan pelajar-pelajar MRSM mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengawal penularan COVID-19 di kalangan pelajar,” kata agensi tersebut melalui kenyatan itu.

Agensi itu membuat kenyataan media susulan mesej di aplikasi WhatsApp mendakwa pelajar MRSM terbabit tidak mendapat bekalan makanan yang secukupnya, pelajar bergejala tinggal di asrama yang sama dengan pelajar sihat akibat tiada tempat pengasingan serta wujud masalah melibatkan SOP keselamatan, sanitasi, pembekalan pelitup muka dan sebagainya.

Katanya lagi dalam kenyataan itu, pelajar yang bergejala telah diasingkan daripada pelajar yang sihat di blok berbeza serta menggunakan tandas yang berlainan sejak 24 Jan lalu.

“Mara turut menafikan isu kekurangan makanan dan peralatan pencegahan, sebaliknya pelajar yang dikuarantin di blok asrama dibekalkan dengan makanan yang dibungkus setiap hari mengikut menu dewan selera di samping makanan tambahan seperti buah-buahan dan minuman tertentu yang diperlukan oleh pelajar.

“Selain itu, setiap pelajar dibekalkan pelitup muka dan cecair pensanitasi tangan di samping menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada warden dan guru bertugas.

“Mara juga sentiasa berhubung rapat dengan Pusat Kesihatan Daerah sejak gejala dikesan dalam kalangan pelajar,” jelas kenyataan tersebut.

Justeru, Mara menasihati ibu bapa agar terus menghubungi pihak pengurusan maktab jika timbul sebarang kebimbangan tentang anak-anak mereka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.