Ladang bandar tingkat taraf hidup gelandangan

39

1 FEB: Kementerian Wilayah Persekutuan bakal membangunkan ladang berkonsepkan pertanian bandar bagi meningkatkan taraf hidup gelandangan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah itu merupakan inisiatif kerajaan bagi menawarkan pekerjaan buat golongan gelandangan di ibu kota di samping mampu menjana pendapatan sendiri.

Menurut beliau, ladang berkenaan akan dibangunkan berdekatan dengan penempatan baru gelandangan yang bakal disediakan.

“Kali ini kita mahu ambil pendekatan berbeza, sebelum ini kita memberikan mereka pekerjaan, namun ada juga segelintir daripada mereka memilih tidak mahu bekerja.

“Jadi kita sediakan konsep baharu, mereka ini kita minta bagi membantu di ladang yang hanya terletak di seberang jalan penempatan mereka.

“Mereka boleh kerja di ladang itu serta menjual hasilnya,” katanya dalam sidang media mengenai Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021 yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook miliknya, hari ini.

Annuar menambah, idea konsep pertanian banadar telah tercetus sebelum ini lagi dan ia bolehdilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri dalam pemberian tanah untuk pembukaan ladang.

“Kajian mendapati golongan gelandangan tidak mahu menetap di negeri lain selain berada di kawasan ibu kota.

“Kebanyakan mereka tidak mahu duduk jauh, lebih selesa berada di bandar. Atas sebab itu kita sediakan ladang berkenaan di Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai jumlah mereka yang dikategorikan sebagai miskin bandar, Annuar memberitahu kira-kira 30,000 keluarga dan individu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tergolong dalam golongan itu dengan pendapatan yang diperoleh kurang daripada RM2,200 sebulan.

Justeru, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata itu merupakan anggaran kasar dan setiap bantuan yang diusahakan oleh kementeriannya perlu mengambil kira jumlah yang berada di tahap miskin bandar ini.

“Data oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak 23,000 ketua keluarga yang perlu diberi bantuan manakala data oleh Kebajikan Masyarakat pula ialah 13,000 dan pihak kementerian ada 20,000 yang perlu diberikan bantuan. Jadi kita rasa mungkin ada pertindihan dalam angkanya.

“Tapi kalau kita tengok yang tinggal di PPR tidak semua, secara umumnya kita ada 63,000 rumah dan separuh daripada itu berada di bawah Garis Kemiskinan angkanya jadi sekitar 30,000,” katanya.

Tambah Anwar, sebanyak 178 kawasan penempatan di Kuala Lumpur yang dihuni oleh keluarga yang berpendapatan rendah dan perlu dibantu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.