Isteri ahli politik dituduh edar 1.5 kg kanabis

1,631

1 FEB: Isteri seorang ahli politik berdepan hukuman gantung sampai mati sekiranya didapati bersalah atas tiga pertuduhan mengedar dan menanam dadah jenis kanabis di rumahnya.

Tertuduh, Lyiana Roslee, 34, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, hari ini.

Memetik laporan Bernama, tiada pengakuan direkodkan daripada Lyiana selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Nasihah Anuar, kerana kes melibatkan hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Lyiana bersama seorang lagi yang masih belum dituduh, didakwa telah mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 1,580.4 gram dan mengedar cecair jenis dadah sama berisipadu 7.87 liter di sebuah rumah di Duta Residensi, Ampang, di sini pada 7.30 malam, 20 Jan.

Bagi kedua-dua kesalahan tersebut, suri rumah itu didakwa mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan ketiga, tertuduh bersama dengan seorang lagi yang masih belum dituduh, didakwa menanam sembilan pokok disyaki pokok kanabis di tempat, tarikh dan masa sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(A)(3) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shazwani Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Nur Mustanir Md Nor.

Mahkamah menetapkan 16 Februari ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh ditahan di Penjara Kajang.

Pada 20 Januari lalu, polis menahan suami tertuduh iaitu seorang ahli politik yang pernah bertanding sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana disyaki memiliki dan mengedar dadah jenis cecair ketamin di Fraser Business Park, Pudu.

Suspek yang juga pernah bertanding jawatan naib ketua pemuda sebuah parti politik tahun lalu, ditahan jam 1.45 petang oleh anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, selepas dikatakan menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan polis menemui bungkusan putih tertera logo sebuah syarikat penghantaran barang yang mengandungi cecair disyaki dadah ketamin dianggarkan seberat 400 mililiter (ml).

Polis kemudian melakukan serbuan ke sebuah unit kediaman di Jalan Duta Suria 8, Ampang, pada jam 7.30 petang hari yang sama sehingga membawa kepada penemuan sejumlah lagi dadah.

Berikutan penahanan itu, polis kemudian melakukan pemeriksaan ke kediaman suspek sebelum menemui sembilan batang pokok ganja dianggarkan bernilai RM4,500, daun kering disyaki ganja dianggar bernilai RM3,000 serta cecair dadah disyaki ketamin dan THC yang dianggar bernilai RM53,100.

Polis turut menahan isteri suspek berusia 34 tahun dan seorang wanita warga Filipina yang juga pembantu rumah suspek.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.