9 tuduhan rasuah, nasib Isa Samad diketahui 3 Feb

72

1 FEB: Nasib bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang berdepan sembilan tuduhan rasuah berjumlah RM3 juta dalam skandal pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak akan diketahui Rabu ini.

Memetik laporan Bernama, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan memutuskan sama ada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu bersalah atas pertuduhan itu atau membebaskannya.

Beliau dijangka menyampaikan keputusannya pada 9.30 pagi.

Mohd Isa, 71, didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini, antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bermula pada 8 Okt0ber 2019 dengan pihak pendakwaan memanggil 22 saksi termasuk bekas Ketua Pengarah Felda, Datuk Hanapi Suhada, bekas Ketua Pegawai Eksekutif FICSB, Mohd Zaid Abdul Jalil, Ikhwan dan Muhammad Zahid.

Pada 16 Jun lalu, Mohd Nazlan memerintahkan Mohd Isa membela diri atas sembilan pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan bukti kukuh yang menepati setiap inti pati kesalahan menerima suapan menurut Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM.

Hakim bagaimanapun melepaskan dan membebaskan Mohd Isa daripada satu pertuduhan pecah amanah (CBT) berhubung pembelian hotel itu tanpa kelulusan Lembaga Pengarah Felda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.