4 lelaki bergaduh guna parang ditahan polis

288

1 FEB: Polis berjaya menahan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam pergaduhan berkumpulan dengan bersenjatakan parang di Taman Juara Jaya, Batu 9, Cheras, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian tersebut berjaya sehingga tular yang memaparkan sekumpulan lelaki membawa senjata parang mencederakan sekumpulan lelaki lain.

Menurut beliau, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 6.37 petang apabila Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima panggilan kecemasan berkaitan kes pergaduhan sekumpulan lelaki di kawasan perumahan itu.

“Siasatan polis mendapati terdapat tiga buah kereta yang ditinggalkan oleh suspek dan mangsa di tempat kejadian.

“Dua orang mangsa kini sedang dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil sementara punca kejadian masih lagi dalam siasatan pihak polis,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, tindakan pantas Jabaran Siasatan Jenayah IPD Kajang membolehkan polis menangkap empat suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.

Dalam pada itu Mohd Zaid memberitahu, semua suspek akan direman hari ini di Mahkamah Kajang untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 dan Seksyen148 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut, boleh berhubung balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes, ASP Mohd Radzee Jamudi, di talian 019-6655811,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.